Aeson Power lancar bateri automotif Sodium-ion di Malaysia, harga serendah RM369
Aeson Power baru-baru ini memperkenalkan siri bateri automotif Sodium-ion (Natrium-ion) untuk pasaran Malaysia.
Berbanding bateri jenis asid plumbum yang tradisional, bateri Sodium-ion menawarkan penyelesaian tenaga yang lebih selamat, tahan lama, serta mampu menjadi alternatif yang lebih cekap.
Bateri terbaharu ini serasi dengan lebih 95 peratus kenderaan di pasaran termasuklah kereta persendirian, komersial, industri dan utiliti.
Ia turut direka supaya dapat bertahan dalam keadaan iklim tropika Malaysia yang panas dan lembap, selain mengurangkan risiko kebakaran dan letupan dengan ketara.
Selain boleh beroperasi dengan stabil dalam jangka panjang pada suhu sehingga 80 darjah Celcius, bateri Sodium-ion ini juga mampu mengekalkan kapasiti melebihi 85 peratus walaupun selepas sebulan disimpan pada suhu 60 darjah Celcius.
Dengan teknologi bahan katod polianion, bateri Sodium-ion Aeson Power menawarkan kelebihan lain termasuklah:
- reka bentuk ringan
- keupayaan pengecasan pantas (0-100 peratus dalam 40 minit)
- kuasa permulaan dua hingga tiga kali lebih hebat
- jangka hayat kitaran tiga kali lebih lama sehingga 3,000 kitaran
- julat voltan operasi dari 6-14V membolehkan enjin dihidupkan walaupun pada 10.5V
- tahan terhadap nyahcas berlebihan dan pulih segera selepas dinyahcas sepenuhnya
Terdapat tiga jenis bateri Sodium-ion yang ditawarkan iaitu:
- NaPulse Starting
- NaPulse Start-Stop
- NaForce Start-Stop
Ketiga-tiga bateri tersebut sudah boleh didapati di pasaran Malaysia pada harga serendah RM369, lengkap dengan jaminan selama tiga tahun.
Menurut Jin Chan selaku Pengarah Urusan Aeson Power, “Pelancaran hari ini merupakan satu pencapaian penting bagi Aeson Power, dan kami berbangga memperkenakan bateri automotif Sodium-ion kepada pasaran Malaysia yang dinamik.
“Produk ini membuktikan komitmen kami untuk menawarkan penyelesaian canggih yang bukan sahaja meningkatkan prestasi automotif, tetapi juga menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.


