WMoto Malaysia baru-baru ini melancarkan model cruiser terbaharu WMoto Bobbie 450S 2025 bersempena pembukaan Mforce Best Shop yang terletak di Johor Bahru.
Cruiser ini dikuasakan oleh enjin dua silinder DOHC 449 cc sejukan cecair menghasilkan 49.6 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 39 Nm @ 7,600 rpm.
Enjin itu tadi dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan serta sistem pacuan akhir jenis rantai.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik bersudut 29 darjah di hadapan diikuti penyerap hentak berkembar boleh laras di bahagian belakang, masing-masin gmnawarkan jarak pergerakan roda 130 mm dan 100 mm.
Sistem brek pula menggunakan unit rotor bersaiz 320 mm dan 256 mm di belakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran.
Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit pencahayaan LED termasuklah lampu nyalaan siang (DRL), paparan meter LED digital, port pengecasan USB Type-A, peredam ekzos berkembar, peredam stereng serta brek parkir.
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 15 liter sementara tinggi pelana 650 mm.
Terdapat tiga warna pilihan iaitu Ground Sand Ash, Gulf Custom dan Matte Black. Harga jualan pula bermula dari RM19,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
