Masih lagi wujud potensi yang terpendam pada jentera hot hatch Honda Civic Type R FL5.
Perkara tersebut cuba dibuktikan oleh Honda menerusi pengenalan jentera rali Civic Type R HRC Rally XP menjelang penganjuran perlumbaan Formula Satu di Amerika Syarikat hujung minggu ini.
Antara perincian yang jelas kelihatan termasuklah liveri perlumbaan HRC, mud flap, roda aloi Speedline spesifikasi rali, serta balutan getah all-terrain.
Penampilan logo American Rally Association (ARA) memberikan petunjuk jentera ini bakal menyertai perlumbaan ARA National Championship musim berikutnya.
Civic Type R FL5 ini masih lagi mengekalkan sayap belakang kekal serta bukaan yang besar pada bampar depan, namun terdapat beberapa liang tambahan boleh didapati pada bahagian hud enjin untuk tujuan penyejukan.
Tetapan tiga muncung ekzos yang asal telah digantikan dengan paip tunggal yang lebih ringkas.
Untuk ruang kabin, tempat duduk bucket merah telah digantikan, diikuti dengan panel pintu dan meter kluster digital yang telah dibuang.
Ia kini dilengkapi dengan sepasang tempat duduk perlumbaan, sangkar oleng, roda stereng OMP, tuil brek tangan menegak dan panel digital instrumen baharu yang lengkap dengan lampu indikasi penukaran gear.
Tiada sebarang perincian tentang spesifikasi enjin didedahkan, besar kemungkinan nadi asal K20 masih lagi dikekalkan dengan padanan transmisi enam-kelajuan, namun hadir dengan talaan yang lebih sesuai untuk tujuan perlumbaan.
Begitu juga dengan tetapan suspensi dan komponen pembeza gelincir terhad (LSD) yang mungkin akan dinaiktaraf.
Menariknya, jentera ini menampilkan nama Liam Lawson, pemandu F1 daripada pasukan Red Bulls.
