Dongfeng Nissan perkenal N6, sedan PHEV pertamanya untuk pasaran China

Dongfeng Nissan telah memperkenalkan sedan hibrid plug-in (PHEV) pertama mereka iaitu N6, sekali gus menandakan langkah penting dalam strategi elektrifikasi jenama itu di China.

Model itu diperkenalkan bersama Teana serba baharu, dengan kedua-duanya dijadualkan untuk memasuki pasaran China menjelang akhir tahun ini.

Dibangunkan berasaskan senibina teknologi tenaga baharu (NEV) Dongfeng Nissan, N6 berkongsi asas teknologi dengan sedan elektrik sepenuhnya N7, tetapi hadir dengan sistem PHEV yang menggabungkan enjin petrol 1.5 liter dan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 21.1 kWh.

Maklumat lanjut mengenai prestasi akan diumumkan kemudian, namun menurut Nissan, N6 dibangunkan untuk menawarkan keseimbangan antara kecekapan, prestasi dan keselesaan pemanduan.

Dari segi rekaan, N6 tidak ubah seperti kebanyakan model EV yang ada dalam pasaran dengan bar lampu LED pada bahagian depan dan belakang, serta pemegang pintu tersembunyi.

Dengan ukuran 4,831 mm panjang, 1,885 mm lebar dan 1,491 mm tinggi, serta jarak roda 2,815 mm, N6 mempunyai saiz badan yang dekat dengan model-model segmen D seperti Honda Accord dan Toyota Camry.

Menurut Nissan, N6 mencerminkan komitmen jenama itu untuk memperluaskan barisan kenderaan hibrid dan elektrik di bawah pelan transformasi Re:Nissan, menjadikan pasaran China sebagai pasaran penting kepada strategi inovasi globalnya.

Sementara itu, Teana baharu tampil dengan rekaan luaran yang dikemas kini dan teknologi kabin lebih canggih.

Ia menjadi kenderaan enjin pembakaran dalaman pertama di China yang dilengkapi sistem kokpit pintar Huawei HarmonySpace 5.0, digandingkan dengan sistem audio premium Huawei Sound.