Kereta sports macam IDx mampu pikat golongan pembeli muda – Bos Nissan

Nissan kini sedang berdepan dengan masalah besar, menyebabkan syarikat itu terpaksa membuang sebilangan besar pekerja dan menutup beberapa kilang di seluruh dunia.

Tatkala fokus Nissan tertumpu ke arah model kenderaan volum tinggi, pengeluar itu mengakui model yang sporti mampu menjadi penyelamat keadaan dan menarik minat golongan muda.

Bercakap kepada Kuruma News, CEO Nissan Ivan Espinosa menjelaskan model kereta sports seperti IDx akan dapat membantu mengekspresikan semula jenama Nissan.

Tambahnya lagi, model seperti itu mempunyai potensi kepada demografik pengguna yang lebih muda, dan sangat penting bagi sesebuah pengeluar untuk terus menarik minat golongan pengguna yang lebih muda kepada jenamanya.

Espinosa juga melahirkan keinginannya untuk menghidupkan semula plet nama Silvia.

“Nissan S15, khususnya dengan enjin 2.0 liter turbo output tinggi merupakan salah satu kereta kegemaran dalam sejarah Nissan. Pada saya, ia merupakan salah satu kereta sports ringan terbaik pernah kami hasilkan.

Beliau turut mengakui agak sukar untuk menghasilkan kembali kereta dengan casis yang ringan dan dalam masa yang sama mampu memenuhi keperluan undang-undang keselamatan yang lebih ketat masa kini.

Tidak syak lagi, jika Nissan mahu mengikut jejak langkah Toyota, model konsep IDx merupakan calon yang sesuai untuk diketengahkan.

Model konsep IDx diperlihatkan di acara Tokyo Motor Show 2013 sebagai jawapan kepada Toyota 86/Subaru BRZ dengan reka bentuk luaran yang diinspirasikan daripada Datsun 510.

Sayang sekali, IDx tidak pernah langsung direalisasikan sehingga kini.