Toyota Century Coupe: konsep GT ultra mewah pencabar kepada Rolls-Royce
Selain model konsep sedan empat pintu Corolla, Toyota turut mendedahkan sebuah konsep coupe (atau grand tourer) ultra-mewah dua pintu yang bakal menampilkan plet nama Century.
Ya, anda tidak tersalah baca.
Sejak kebelakangan ini, Toyota cuba untuk menjadikan Century sebagai salah satu sub-jenama ultra mewah yang bakal memberikan cabaran kepada pesaing seperti Bentley, Jaguar dan Rolls-Royce.
Berbeza dengan penawaran sedan dan SUV sedia ada, Toyota dilihat mahu menawarkan gaya badan serba baharu di bawah jenama Century.
Terdapat beberapa perincian menarik yang boleh kita lihat daripada gambar acah yang dibekalkan seperti:
- dimensi hud enjin yang agak panjang
- bukaan pintu normal di sebelah kanan
- kehadiran pintu gelangsar berkembar di sebelah kiri
- kedudukan pemandu di tengah
- tiada kaca tingkap di bahagian belakang
Coupe ini turut menampilkan rekaan lampu berlapis pada bahagian depan dan belakang yang lebih mirip kepada penawaran Century SUV sedia ada.
Terdapat juga liang pada hud enjin dan struktur jeriji yang tidak tertutup sepenuhnya (lengkap dengan emblem burung phoenix) memberikan petunjuk coupe ini mungkin akan ditawarkan dengan enjin pembakaran dalaman.
Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang Japan Mobility Show 2025 yang akan dibuka tirainya hujung bulan ini.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.







