Kawasaki All Star 4S Nilai rasmi dibuka, outlet ke-10 di Malaysia

Kawasaki All Star 4S Nilai (1)

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) baru-baru ini merasmikan pembukaan Kawasaki All Star 4S terletak di Nilai, Negeri Sembilan.

Kawasaki Nilai yang dikendalikan oleh Sendayan Motor Sdn Bhd itu merupakan outlet yang ke-10, menawarkan pengalaman 4S yang lengkap termasuklah jualan, servis dan alat ganti.

Upacara tersebut disempurnakan oleh YB Arulkumar A/L Jambunanthan, ADUN Nilai, serta turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Pemasaran MODENAS, Hitoshi Inoue dan Pengarah Sendayan Motor Sdn Bhd, David Goh Lim Jia.

Acara tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa, sesi tandatangan plak, lawatan ke bilik pameran serta jamuan makan tengah hari untuk lebih 500 orang tetamu.

Tidak ketinggalan, cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik termasuklah barangan eksklusif Kawasaki, jaket dan helmet LS2, serta sebuah motosikal MODENAS MR3.

Menurut Roslan Roskan selaku Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, “Nilai merupakan outlet Kawasaki All Star kami yang ke-10. Ini merupakan satu pencapaian penting yang mencerminkan pertumbuhan dan komitmen kami terhadap golongan penunggang di Malaysia.

Beliau turut menekankan bilik pameran terbaharu ini akan menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan dan menggalakkan lagi budaya motosikal di Negeri Sembilan.

Hitoshi Inoue menambah, Nilai akan menjadi lebih daripada sekadar sebuah pengedar, akan tetapi sebagai pusat tumpuan untuk golongan penunggang dan peminat dari kawasan sekitar.

Beroperasi sejak tahun 1976, Sendayan Motor Sdn Bhd kini mempunyai lima cawangan pengedar sekaligus mengukuhkan kedudukan sebagai nama yang dipercayai di kalangan komuniti motosikal.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved