Aston Martin DB12 S diperkenalkan sebagai grand tourer yang lebih berkuasa, lebih laju

Aston Martin memperkenalkan model grand tourer terbaharunya iaitu DB12 S, yang secara asasnya merupakan versi lebih berkuasa berbanding DB12 sedia ada.

Model ini juga meneruskan tradisi nama ‘S’ Aston Martin yang bermula sejak DB3S tahun 1953, dan pernah digunakan pada model-model legenda seperti Vanquish S, Vantage S, dan Rapide S.

DB12 S tampil dengan rekaan luaran yang lebih garang dan aerodinamik. Ia mempunyai splitter hadapan dua elemen dan lubang udara pada bonet (dalam kemasan hitam berkilat atau gentian karbon), yang membantu aliran udara dan penyejukan, serta membuatkan ia tampak lebih lebar dan rendah.

Skirting sisi hitam berkilat menyerlahkan garisan aerodinamik di bahagian tepi, manakala lencana ‘S’ tempa pada fender menambah lagi sentuhan eksklusif.

Di belakang, spoiler tetap meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi, manakala diffuser baharu dengan empat paip ekzos yang disusun bertindih menyerlahkan karakter sporty DB12 S.

Bahagian dalamannya mengekalkan kemewahan dengan sentuhan perlumbaan. Pemutar mod pemanduan berwarna merah menjadi titik fokus, sepadan dengan tali pinggang keledar dan jahitan kontras dalam warna yang sama.

Pelanggan boleh memilih antara tiga tema utama iaitu Accelerate, Inspire S kulit separa aniline, dan Inspire S dengan kulit penuh aniline – ketiga-tiganya dengan kemasan Alcantara dan corak jahitan khas.

Tempat duduk elektrik 16 arah Sport Plus disertakan sebagai standard, namun pelanggan boleh memilih kerusi gentian karbon untuk pemanduan lebih agresif.

Kuasa dibekalkan oleh enjin 4.0 liter V8 twin-turbo yang dinaik taraf, menghasilkan 700 PS dan 800 Nm. Dengan kotak gear dan pendikit yang lebih responsif, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.

Selain itu, DB12 S turut dilengkapi dengan brek seramik karbon yang lebih ringan 27 kg, serta penyerap hentak Bilstein DTX yang ditala semula. Naik taraf lain termasuk bar anti-oleng belakang yang lebih tegar, stereng dan E-Diff baharu, serta sistem Corner Braking Control bagi menambah kestabilan ketika membrek di selekoh.

Tersedia dalam bentuk Coupe dan Volante (convertible), Aston Martin DB12 S kini boleh ditempah dengan penghantaran bermula suku pertama tahun 2026.

Harga tidak dinyatakan namun ia sudah pastinya lebih mahal berbanding DB12 yang dijual pada harga £185,000 (RM1.04 juta).