VW Golf GTI Sepang Edition rasmi di Malaysia – harga RM262,990

Volkswagen_Golf_GTI_Sepang_Edition_Front_Right

Volkswagen Passenger Cars Malaysia mengumumkan kehadiran model edisi istimewa yang merangkap kereta pertama di Malaysia dilengkapi lambang rasmi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), iaitu Golf GTI Sepang Edition.

Pengenalan model ini merupakan satu penghormatan terhadap legasi sukan permotoran di Malaysia, serta litar yang pernah menjadi pentas penganjuran perlumbaan berprestij dunia termasuklah Formula Satu dan MotoGP.

Antara ciri eksklusif pada bahagian luar yang dibawakan:

  • emblem Sepang Edition pada bahagian belakang
  • logo Sepang Edition dengan kemasan UV Gloss pada tiang-B
  • plet Sepang Edition
  • rim aloi Richmond 19 inci dengan penutup hab roda dinamik GTI
  • kemasan sporti pada bahagian sisi
  • perumah cermin sisi, bumbung, spoiler hadapan, diffuser belakang warna hitam
  • penutup injap GTI
  • pilihan warna Atlantic Blue dan King’s Red

 

Untuk ruang kabin, Golf GTI Sepang Edition ini turut diserikan dengan ciri berikut:

  • karpet lantai GTI
  • kamera perakam pemanduan depan belakang dengan penderia malam Sony Starvis
  • filem tingkap VW Tint original
  • pemegang kunci dengan sijil ketulenan

Golf GTI dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo menghasilkan 245 PS dan daya kilas 370 Nm yang memacu roda depan menerusi transmisi DSG tujuh-kelajuan.

Harga jualan bermula dari RM262,990 lengkap dengan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang merangkumi pakej penyelenggaraan percuma tujuh tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan percuma lima tahun.

Bersempena pelancaran Golf GTI Sepang Edition, VPCM turut mengumumkan promosi jualan 10.10 di mana 10 unit terawal yang didaftarkan akan menerima kadar faedah 0 peratus selama 10 bulan.

Renate Noessler selaku Pengarah Urusan VPCM berkata, “Bukan sekadar sebuah kereta: inilah semangat Sepang yang dijuruterakan ke dalam sebuah ikon.”

“Menjadi jenama automotif pertama bekerjasama dengan SIC dalam memperkenalkan sebuah kenderaan, ia menjadi bukti penghormatan kami terhadap legasi perlumbaan di Malaysia dan komitmen kami untuk menghasilkan kereta yang penuh dengan karakter. Kolaborasi ini membolehkan kami mencipta sejarah bersama-sama dan kami sangat bangga dengan pencapaian ini.”

Azhan Shafriman Hanif selaku Ketua Pegawai Eksekutif SIC berkata, “Kerjasama di antara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Volkswagen menandakan satu lembaran baharu yang cukup menarik dalam budaya sukan bermotor di Malaysia.

“Selama lebih dua dekad, SIC telah nenjadi nadi kepada sukan permotoran negara, sebuah arena yang menyatukan semangat dan komuniti. Kami sangat berterima kasih kepada Volkswagen kerana membawa legasi SIC melangkaui litar ini. Golf GTI Sepang Edition menjadi simbol kebanggaan sukan permotoran negara yang dekat di hati rakyat Malaysia.”

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved