Kilang Proton Shah Alam rasmi ditutup, pindah operasi ke Tanjong Malim
Setelah hampir empat dekad, Proton akhirnya secara rasmi menutup kilang pemasangan kenderaan di Shah Alam menandakan penghujung era kegemilangan dalam sejarah automotif negara.
Unit terakhir Proton Saga dilapor meluncur keluar pada 30 September 2025.
Operasi pembuatan kini dipindahkan sepenuhnya ke Tanjong Malim, di mana seramai 1,400 orang kakitangan pengeluaran terakhir telah pun berpindah ke sana.
Satu majlis sambutan khas telah diadakan baru-baru ini di Proton Tanjong Malim bagi meraikan 1,400 pekerja, dan disempurnakan oleh Ainol Azmil, Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, bersama barisan pengurusan tertinggi PROTON.
Menurut Ainol Azmil, “Hari ini merupakan satu detik bersejarah buat PROTON apabila 1,400 rakan sekerja dari Shah Alam memulakan perjalanan baharu di Tanjong Malim.
“Dengan pengalaman dan dedikasi mereka selama ini, PROTON kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya, menjadikan kilang ini sebagai hab utama untuk generasi baharu kenderaan PROTON,” ujarnya lagi.
Pengeluaran model Saga akan diteruskan di Tanjong Malim bersama model Persona, siri SUV X dan sedan S70 di hab pembuatan berteknologi tinggi AHTV yang turut menempatkan kilang pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) Proton.
Fasiliti Tanjong Malim mempunyai kapasiti pengeluaran 250,000 unit setahun dan terdiri daripada lima bahagian pengeluaran utama, iaitu Pemesinan Enjin dan Transmisi, Penekapan, Pemasangan Badan, Cat, dan Pemasangan Akhir.
Ia juga merupakan satu-satunya fasiliti di luar China yang mempunyai barisan pemasangan enjin 1.5 TGDI.
Kilang Proton Shah Alam telah beroperasi sejak tahun 1985, mempunyai keluasan sekitar 83.48 hektar dengan pelaburan bernilai RM370 juta.
Selain menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), ia juga lengkap dengan kemudahan ujian menyeluruh, serta trek ujian separa kelajuan tinggi.
Sepanjang tempoh operasi, kilang tersebut telah menghasilkan lebih 4 juta unit kenderaan termasuklah model ikonik Saga, Wira, Perdana dan Exora.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.


