SYM VFE 185i 2025 mendarat di Malaysia – harga RM9,988

Pasaran motosikal Malaysia dihangatkan lagi dengan pelancaran model kapcai berkapasiti tinggi oleh Mforce Bike Holdings, iaitu SYM VFE 185i.

Moped ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 183 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 19.7 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 17.5 Nm @ 7,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi enam-kelajuan serta sistem pacuan akhir jenis rantai.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan (jarak pergerakan 80 mm) dan penyerap hentak tunggal di belakang (jarak pergerakan 32 mm).

Brek pula terdiri daripada rotor bersaiz 250 mm di depan dan rotor 200 mm dibelakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran.

Antara kelengkapan termasuklah rim 17 inci, sistem pencahayaan LED, paparan meter jenis LCD, sistem kunci pintar, serta kehadiran port pengecasan USB Type-A QC 3.0.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 7 liter, sementara tinggi pelana pula 800 mm. Berat keseluruhan cuma 135 kg, menjadikannya mudah untuk dikawal.

Ditawarkan dengan harga RM9,988, VFE 185i ini boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu putih, hijau dan juga biru.