Model kembar Corolla Cross dapat muka depan unik di pasaran China

Toyota Frontlander 2025 02

Diperkenalkan sejak tahun 2020, Toyota Corolla Cross kini merupakan satu plet nama yang cukup popular di serata dunia.

Namun harus anda tahu bahawa Corolla Cross mempunyai model kembar di pasaran China yang dikenali dengan nama berbeza, iaitu Toyota Fronlander.

Tidak seperti Corolla Cross yang dibina oleh kerjasama FAW Toyota, Frontlander pula merupakan hasil kerjasama oleh GAC Toyota.

Unik untuk pasaran tersebut, GAC Toyota membawakan perubahan yang berbeza berbanding model yang ditawarkan oleh FAW Toyota yang lebih mirip kepada model pasaran global.

Antaranya ialah muka hadapan yang lebih kemas diilhamkan daripada model EV, diikuti dengan grafik lampu belakang yang telah direka semula.

Perubahan yang besar boleh didapati pada ruang kabin, di mana Frontlander kini menampilkan papan pemuka yang lebih premium rekaannya.

Tiada lagi gugusan butang kawalan fizikal untuk iklim kabin, sebaliknya ia telah disumbatkan ke dalam skrin tengah sebesar 12.9 inci.

Corong pendingin hawa juga lebih kecil, diikuti dengan penambahan sistem pencahayaan ambien, skrin kluster digital 8.8 inci, serta slot pengecasan peranti pintar pada konsol tengah yang lebih tinggi posisinya itu.

Akhir sekali, Frontlander turut mendapat naik taraf sistem keselamatan termaju Toyota Safety Sense.

Sama seperti model terdahulu, Frontlander boleh didapati dalam versi petrol 2.0L NA menghasilkan 169 hp yang menggerakkan roda depan, serta model hibrid 2.0L 111 hp yang dipadankan dengan transmisi E-CVT.

Harga jualan bermula dari RMB 132,800 (~RM78,575) untuk versi NA, sementara Frontlander HEV pula bermula dari RMB 145,800 (RM86,267).

Toyota Corolla Cross Facelift Eropah

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved