BUDI95: Anwar jamin sistem mampu tampung sehingga 30,000 transaksi seminit
Bagi mereka yang bimbang sistem BUDI95 akan mengalami gangguan apabila dilaksanakan pada 30 September ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa pelayan sistem tersebut mampu menampung jumlah pengguna.
Menurut Anwar, pelayan bagi subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mampu memproses sehingga 30,000 transaksi seminit, iaitu 10 kali ganda berbanding program bantuan SARA (Sumbangan Asas Rahmah) sebelum ini.
Katanya, kapasiti yang lebih besar ini bertujuan mengelakkan gangguan teknikal seperti yang pernah berlaku dalam pelaksanaan subsidi terdahulu.
Beliau turut mempertahankan keperluan pengesahan kad pengenalan ketika membeli petrol bersubsidi, dengan menegaskan sistem itu direka untuk memastikan hanya warganegara Malaysia yang menikmati manfaat, sekali gus menghalang warga asing daripada menerima kadar subsidi.

Anwar berkata, warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah serta MyKad layak menerima subsidi tersebut, dengan anggaran lebih 16 juta orang bakal menikmati skim ini.
Beliau mengumumkan beberapa kumpulan akan menerima subsidi lebih awal, iaitu 27 September bagi kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera, serta 28 September bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Beliau juga menegaskan bahawa warga asing yang memiliki kenderaan berdaftar Malaysia akan dikenakan kadar RM2.60 seliter, manakala kenderaan nombor plat asing hanya boleh mengisi petrol RON97.
Bagi mereka yang masih belum pasti tentang kelayakan, Anwar menggalakkan orang ramai membuat semakan melalui portal BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan yang disediakan.
Peminat segala jenis kenderaan