Lebih 1,000 pemilik D-Max berkumpul raikan Hari Merdeka

Lebih 1,000 orang pemilik Isuzu D-Max berkumpul untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-68 di beberapa lokasi di seluruh negara.

Sejumlah 1,028 buah Isuzu D-Max menyertai Konvoi Merdeka Isuzu yang bermula dari 39 premis pengedar sah Isuzu ke lokasi menarik di negeri masing-masing dalam usaha untuk memperagakan semangat patriotik serta meluangkan masa bersama rakan dan taulan.

Konvoi Merdeka Isuzu tahun ini turut menyertakan aktiviti seperti lawatan ke dusun, tapak perkelahan, makan durian, lawatan ke lokasi tarikan pelancongan, kunjungan ke pulau-pulau serta aktiviti permainan ekstrem.

Menurut Tomoyuki Yamaguchi selaku Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, “Konvoi Merdeka Isuzu menjadi platform yang bermakna bagi semua pelanggan kami untuk menunjukkan semangat patriotik serta rasa bangga mereka sebagai warga Malaysia.

“Sangat mengujakan untuk melihat pelbagai lapisan masyarakat berkongsi satu kecintaan yang sama terhadap negara ini dan meraikan detik bersejarah tersebut bersama,” ujarnya.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Kenderaan Perdagangan Ringan Isuzu, Kenichi Kudo menambah, Konvoi Merdeka Isuzu juga menjadi acara yang ideal untuk mempertemukan pelanggan dan mengunjungi lokasi menarik di Malaysia menggunakan trak pikap yang paling cekap tenaga dan tahan lasak milik mereka.

“Selain peluang untuk meraikan penyatuan warga dalam semangat Merdeka, Konvoi Merdeka Isuzu juga merupakan peluang bagi pemilik untuk menikmati keseronokan memandu Isuzu D-Max sekali gus menikmati keindahan Malaysia,” jelas Kudo.