Kia Carnival ini hanya boleh muat empat orang sahaja
Lewat tahun 2020, Kia memperkenalkan varian Carnival Hi Limousine yang menampilkan rekaan bumbung lebih tinggi berbanding Carnival standard.
Ia bukanlah kotak storan bumbung yang ditambah atas Carnival, akan tetapi seksyen bumbung yang telah ditinggikan untuk ruang kabin yang lebih besar.
Untuk versi kemas kini model tahun 2026, Kia Carnival Hi Limousine ini mendapat beberapa ciri baharu dan pilihan enjin hibrid buat pertama kali.
Terdapat pilihan susun atur tujuh atau sembilan tempat duduk untuk versi Noblesse, namun versi Signature yang lebih mewah hanya boleh memuatkan empat orang sahaja pada satu-satu masa.
Trim Signature ini bukan sahaja menampilkan tempat duduk kapten lengkap dengan tempat rehat kaki, ia turut mempunyai fungsi urut dan ruang storan khas untuk menyimpan kasut.
Penumpang baris kedua perlu berkongsi skrin kawalan untuk mengubah tetapan, serta skrin 21.5 inci yang dipasang pada bahagian siling.
Terdapat juga slot pengecas peranti pintar tanpa wayar, cangkuk penyangkut baju, peti sejuk dan sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara.
Untuk memastikan keselesaan penumpang VIP di belakang, Kia telah menambah pad lembut, peredam dan merendahkan ketinggian tempat duduk belakang.
Dari segi kuasa, Carnival Hi Limousine ini boleh didapati dalam versi enjin V6 3.5 liter menghasilkan 290 hp, serta enjin hibrid 1.6 liter turbo yang mampu menjana 242 hp.
Sayang sekali, tiada pilihan enjin diesel 2.2 liter ditawarkan untuk Carnival Hi Limousine.
Di pasaran Korea Selatan, Kia Carnival Hi Limousine 2026 ini dijual pada harga bermula dari 63.27 juta won (RM192 ribu) hingga 97.8 juta won (RM297 ribu) untuk varian Signature Hybrid.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.















