Anda rasa dengan peningkatan kuasa dan penawaran transmisi automatik, hot hatch Toyota GR Yaris sudah cukup sempurna?
Nampaknya sangkaan anda salah sama sekali, sekali lagi!
Individu di Toyota Gazoo Racing masih nampak wujudnya ruang untuk penambahbaikan pada model tersebut menerusi penawaran pakej “Aero Performance” untuk GR Yaris.
Dibangun menerusi pengalaman bergelumang di dalam litar lumba dan input daripada pemandu professional, pakej terbaharu ini mampu memaksimumkan prestasi aerodinamik serta aspek penyejukan hot hatch tersebut.
Terdapat enam komponen di dalam pakej Aero Performance ini, lima daripadanya direka untuk menawarkan kestabilan pada kelajuan tinggi serta prestasi aerodinamik seperti liang fender hadapan, pelindung bawah tangki bahan api, liang bampar belakang dan sayap belakang boleh laras.
Penambahan spoiler lip hadapan pula berdasarkan maklum balas daripada pelumba professional Oshima untuk mengurangkan kesan angkat pada hadapan, sekaligus menambah baik keseimbangan aerodinamik jentera ini.
Aspek penyejukan pula disumbangkan oleh hud enjin aluminium yang berliang di mana ia berkongsi bentuk hud gentian karbon yang digunakan pada model GRMN Yaris.
Spesifikasi asas GR Yaris masih kekal tidak berubah, seperti enjin G16E-GTS yang mampu menjana kuasa 304 PS dan daya kilas 400 Nm, pilihan transmisi manual 6-kelajuan atau DAT 8-kelajuan dan sistem pacuan semua roda GR-Four.
Di Jepun, Toyota GR Yaris dengan pakej Aero Performance ini dijual pada harga bermula dari 4,055,000 yen (RM115,911).
