Yamaha NVX 2025 dilancar – enjin 155cc VVA, teknologi Turbo Y-Shift, harga dari RM11,998

CB_01

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini melancarkan Yamaha NVX generasi baharu untuk pasaran tempatan, menampilkan reka bentuk lebih sporty, teknologi moden serta pilihan dua varian iaitu NVX ABS dan NVX SP.

Skuter automatik ini dikuasakan enjin Blue Core 155cc dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) yang dipadankan bersama Yamaha Electric CVT (YECVT), menawarkan prestasi bertenaga dan kecekapan bahan api lebih baik.

Varian SP mempunyai dua mod tunggangan iaitu Town Mode untuk perjalanan bandar yang lebih lancar dan jimat minyak, serta Sport Mode untuk memberikan tindak balas pendikit lebih responsif.

Menariknya, ia turut dilengkapi dengan teknologi Turbo Y-Shift yang dikawal melalui suis ibu jari, membolehkan penunggang memilih tiga tahap pecutan dan nyahpecutan.

Dari segi teknologi, kedua-dua varian didatangkan dengan sistem Yamaha Y-Connect yang membolehkan sambungan telefon pintar bagi fungsi seperti sejarah tunggangan, peringatan penyelenggaraan dan rekod penggunaan minyak.

Untuk varian SP, Y-Connect turut menyokong navigasi Google Maps yang dipaparkan melalui skrin TFT cockpit dengan tiga mod paparan berbeza, menjadikannya lebih premium dan mesra pengguna.

Aspek keselamatan juga dititikberatkan dengan penggunaan brek cakera hadapan dan belakang, ABS satu saluran bagi varian ABS, manakala varian SP mendapat tambahan sistem Traction Control (TCS).

Kedua-dua varian turut dilengkapi dengan Emergency Stop Signal (ESS) serta rangka baharu yang lebih kukuh.

Dari seg kelengkapan pula, NVX baharu menawarkan sistem keyless start, fungsi henti-mula automatik serta port pengecasan USB-C untuk kemudahan mengecas peranti mudah alih.

Yamaha NVX ABS 2025 ditawarkan pada harga RM11,998 manakala model lebih premium, NVX SP 2025, dijual pada harga RM14,498. Kedua-dua varian kini boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved