Proton lancar pakej servis asas Ihsan Madani, harga serendah RM145
Proton melancarkan Kempen Servis Ihsan Madani bertujuan untuk meringankan kos pemilikan kenderaan di kalangan rakyat Malaysia.
Bermula 11 September hingga 11 November, kempen ini turut mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah program Malaysia Madani.
Menerusi kempen terbaharu ini, pemilik proton Persona, Iriz, Exora dan Saga (PIES) boleh mendapatkan pakej dengan harga promosi tetap seperti berikut:
- Pakej Semi-sintetik – RM145.00
- Pakej Sintetik Penuh – RM198.00
Selain penjimatan sehingga 30 peratus, pemilik juga akan menerima pemeriksaan keselamatan 40 poin secara percuma merangkumi komponen penting seperti brek, bateri, penyeka kaca dan komponen kritikal lain di semua pusat servis sah Proton.
Menurut Ainol Azmil Abu Bakar selaku Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, “Kempen Servis Ihsan MADANI mencerminkan usaha PROTON untuk memudahkan pemilikan kenderaan dan memberi ketenangan kepada rakyat Malaysia.
“Dengan menyokong aspirasi program Malaysia MADANI, PROTON bukan sahaja menawarkan servis yang lebih mampu milik, malah turut menitikberatkan aspek keselamatan dan tanggungjawab di jalan raya. Inisiatif ini membuktikan komitmen PROTON dalam menjaga kepentingan pelanggan sambil menyokong pembangunan mobiliti negara.”
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

