Lexus IS 2026 facelift tampil lebih agresif

2025.07.31

Kehadiran model IS 2026 ini memadamkan kebanyakan spekulasi yang menjangkakan Lexus akan memperkenalkan model IS generasi baharu.

Ini kerana IS 2026 ini secara asasnya merupakan versi facelift yang ketiga selepas dua versi yang diperkenalkan pada tahun 2017 dan 2020.

 

Perubahan besar yang boleh dilihat adalah di bahagian hadapan di mana struktur jeriji spindle telah direka semula, sementara logo Lexus telah dialih ke bahagian atas.

Ini menjadikan reka bentuk bampar hadapan lebih agresif.

Selain itu, IS ini dipadankan dengan rim aloi baharu bersaiz 19 inci, spoiler belakang yang besar dan perkataan LEXUS pada bahagian ekor.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin kluster digital 12.3 inci, skrin infohibur tengah sebesar 12.3 inci, panel kawalan iklim yang lebih kemas, serta kemasan gentian buluh pada konsol tengah.

Lexus turut membuang barang wajib jenama itu sejak bertahun-tahun lamanya, iaitu trackpad dan juga jam analog.

Sistem keselamatan Lexus Safety System+ ditambah baik dengan fungsi ADAS yang membenarkan pemanduan bebas tangan di atas lebuh raya.

Perubahan tersembunyi pula termasuklah sistem stereng kuasa elektrik (EPS) yang lebih responsif dan suspensi adaptif jenis solenoid untuk pemanduan yang lebih selesa.

Lexus IS 2026 hanya ditawarkan dalam varian IS 300h (enjin hibrid 2.5L 217hp) dan IS 350 (enjin V6 3.5L 314 hp), sementara IS 500 dengan nadi V8 berkemungkinan besar tidak lagi tersenarai selepas pelancaran model Climax Edition tempoh hari.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved