Chery Malaysia mengumumkan ketibaan model SUV facelift Chery 05 2025 untuk pasaran tempatan, membawakan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan berbanding model terdahulu.
Chery 05 kekal dengan enjin 1.5 liter turbo 156 PS dan daya kilas 230 Nm, namun transmisi asal CVT telah digantikan dengan kotak gear DCT enam-kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.9 saat.
Selain itu, Chery 05 kini dilengkapi dengan tiga mod pemanduan, iaitu Eco, Normal dan Sport.
Satu lagi perubahan ialah suspensi belakang kini menggunakan tetapan multi-link yang menawarkan pemanduan yang lebih selesa, lebih stabil dan pengendalian yang lebih baik di selekoh.
Dari segi luaran, 05 membawakan bahasa rekaan Chery terkini dengan jeriji hadapan Pixel Diamond, lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah serta lampu membelok jenis sekuential.
Melengkapkan lagi rupa sporti 05 ialah rim aloi bersaiz 18 inci hitam.
Untuk ruang kabin, Chery 05 menampilkan skrin berkembar sebesar 20.5 inci dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, cermin pandang belakang tanpa rangka, tempat duduk pemandu larasan enam tahap, tempat duduk penumpang hadapan boleh laras 4-tahap, fungsi pengudaraan untuk baris hadapan, dan storan sejuk di bawah tempat rehat tangan tengah.
Selain itu, 05 hadir dengan sistem audio Sony lapan pembesar suara, sistem lampu suasana 64 warna, serta bumbung suria berkuasa elektrik.
Ruang kargo pula adalah sebesar 442 liter.
Ciri keselamatan yang ditawarkan seperti enam beg udara, sistem kamera panorama 540 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), dan bantuan suluhan pintar.
Chery 05 turut dilengkapi dengan 18 fungsi ADAS termasuklah amaran pelanggaran hadapan (FCW), kawalan jelajah adaptif (ACC), sistem pengesanan titik buta (BSD), brek kecemasan autonomi (AEB) dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA).
Terdapat empat warna yang ditawarkan iaitu Carbon Black, Phantom Grey, Khaki White dan Blood Stone Red.
Harga jualan bermula dari RM116,800.
Chery Malaysia mengumumkan pakej pelancaran seperti berikut:
- pakej servis 3-tahun (bernilai RM4,000)
- pakej jaminan 10-tahun atau had perbatuan sehingga 1 juta km (bernilai RM2,000)
- ansuran bulanan serendah RM990/bulan dengan pembiayaan Maybank
