Porsche 911 Turbo S baharu hanya perlukan 2.5 saat untuk pecut dari 0 hingga 100 km/j

323146_6000x4000

Porsche telah memperkenalkan 911 Turbo S terbaharu di IAA Mobility di Munich. Dengan enjin boxer 3.6-liter yang digabungkan bersama sistem twin-turbo T-Hybrid, ia merupakan model 911 versi produksi paling berkuasa pernah dihasilkan.

Angkanya cukup gila. Gabungan enjin dan sistem T-Hybrid memberikan kuasa keseluruhan mencecah 711 PS dan 800 Nm, iaitu 61 PS lebih tinggi berbanding model sebelum ini.

Dengan transmisi PDK 8-kelajuan dan sistem pacuan semua roda, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j hanya dalam 2.5 saat, 0 hingga 200 km/j dalam 8.4 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 322 km/j.

Walaupun beratnya bertambah 85 kg berbanding model generasi sebelumnya, prestasi Turbo S baharu ini lebih pantas dalam dunia sebenar. Di Nurburgring Nordschleife, ia mencatat masa 7:03.92 minit, iaitu 14 saat lebih pantas daripada model lama.

Selain kuasa, cengkaman dan brek turut dipertingkat. Tayar belakangnya kini lebih lebar (325/30 ZR 21), manakala sistem brek seramik disertakan standard dengan cakera 420 mm di depan dan 410 mm di belakang.

Menurut Porsche, ini cakera paling besar pernah digunakan pada model dua pintunya.

Aerodinamik juga main peranan besar. Turbo S baharu dilengkapi flap penyejuk aktif, diffuser depan, spoiler boleh laras, dan sayap belakang baharu.

Hasilnya, seretan udara berkurang 10%, manakala prestasi membrek ketika jalan basah juga bertambah baik.

Casis pula dikawal oleh sistem Porsche Dynamic Chassis Control (ehPDCC) elektro-hidraulik, yang mengurangkan olengan badan dan menjadikan kereta lebih lincah di selekoh.

Selain itu, ekzos titanium yang lebih ringan 6.8 kg pula memberikan bunyi yang lebih garang dan tipikal enjin boxer. Sistem angkat gandar depan ditawarkan sebagai pilihan.

Dari segi rupa, Turbo S tampil lebih lebar dengan bukaan udara baharu serta sentuhan eksklusif Turbonite yang khusus untuk model Turbo.

Bahagian dalaman pun sama, dengan hiasan unik, kerusi sport boleh laras 18 hala, dan sistem infotainmen Porsche terkini. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan versi coupe dua tempat duduk (dengan pilihan tambah kerusi belakang) atau cabriolet 2+2.

Sebagai standard, model ini datang dengan lampu HD Matrix LED, Sport Chrono Package, suspensi PASM, dan jahitan dalaman khusus Turbo S.

Mereka yang mahukan penampilan lebih eksklusif boleh mendapatkan khidmat Porsche Exclusive Manufaktur.

Program ini menawarkan pelbagai pilihan tambahan termasuk program Paint to Sample dengan lebih 100 warna, bumbung gentian karbon, lampu belakang eksklusif, rim khas, serta pengelap cermin karbon yang 50% lebih ringan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved