Bermaz Motor akhirnya secara rasmi melancarkan model SUV terbaharu CX-60 2025 untuk pasaran tempatan.
Ia merupakan produk Mazda pertama yang dibina berdasarkan platform Large Product Group, menawarkan imej yang lebih mewah dan elegan.
Berikut merupakan perincian ringkas Mazda CX-60 untuk pasaran Malaysia:
Enjin
Mazda CX-60 dikuasakan oleh enjin Skyactiv-G 2.5 liter 189 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 261 Nm @ 3,000 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan.
Dengan tangki sebesar 58 liter, CX-60 memberikan bacaan penggunaan bahan api 7.3 liter/100 km.
Dimensi
CX-60 berukuran sepanjang 4,740 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,680 mm dengan jarak antara roda 2,870 mm.
Jarak kelegaan tanah adalah setinggi 175 mm, sementara radius putaran pula sekitar 5.40 meter.
Sistem gantungan
CX-60 dibekalkan dengan tetapan double wishbone di depan, dibantu dengan sistem multi-link di belakang.
Ia turut mendapat fungsi Kinematic Posture Control (KPC) yang mampu mengoptimumkan prestasi suspensi untuk pergerakan badan yang lebih lancar dan lebih stabil terutama pada kelajuan tinggi.
Luaran
Antara kelengkapan standard CX-60 termasuklah sistem pencahayaan LED, lampu nyalaan siang LED, rim bersaiz 18 inci, penyeka kaca dengan fungsi penderia hujan, pintu tailgate berkuasa bebas tangan, serta cermin sisi berkuasa.
Dalaman
Masuk ke dalam ruang kabin, CX-60 menawarkan ciri seperti skrin kluster digital 12.3 inci, skrin tengah sebesar 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Bose 12 pembesar suara, serta kemasan kulit pada papan pemuka.
Tempat duduk pemandu menawarkan larasan sehingga 10 tahap lengkap dengan fungsi memori, manakala tempat duduk penumpang hadapan pula sehingga lapan tahap larasan.
Ciri lain termasuklah kawalan iklim dua zon, kehadiran slot kuasa 12V dan port USB, cermin pandang belakang tanpa bingkai, serta slot pengecasan tanpa wayar.
Keselamatan
Ciri keselamatan CX-60 termasuklah beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan, Kawalan Cengkaman, kamera 360 darjah serta Bantuan Mula Mendaki (HLA).
CX-60 juga hadir dengan beberapa teknologi keselamatan termaju termasuklah:
- Lampu Utama Adaptif (ALH)
- Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
- Amaran Lintasan Trafik Depan dan Belakang (FCTA & RCTA)
- Amaran Keluar Lorong (LDWS)
- Bantuan Pengekalan Lorong (LAS)
- Amaran Tumpuan Pemandu (DAA)
- Sokongan Jelajah dan Trafik (CTS)
- Kawalan Jelajah Radar Mazda (MRCC)
Harga
Mazda CX-60 2025 merupakan unit import sepenuhnya (CBU ) dari Jepun, dan dijual pada harga bermula dari RM200,510 (atas jalan tanpa insurans).
