QJMotor E-LTR 2025 rasmi dilancarkan – harga dari RM6,999 sebelum rebat

Mforce Bike Holdings membawakan sebuah lagi skuter elektrik untuk pasaran tempatan, kali ini di bawah jenama QJMotor iaitu E-LTR 2025.

Dari segi kuasa, QJMotor E-LTR dijana dengan motor elektrik 4.02 hp yang mampu mencapai kelajuan maksimum 70 km/j, dan terdapt tiga mod kelajuan yang boleh dipilih.

Dengan bateri lithium-ion 74V 27Ah, E-LTR mampu mencapai jarak tunggangan sejauh 105 km untuk sekali cas penuh.

Tempoh pengecasan 30-80 peratus SoC hanya mengambil masa 5-6 jam.

Terdapat dua slot bateri disediakan, satu didatangkan standard bersama skuter manakala satu unit bateri lagi boleh ditambah secara pilihan.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah penyerap hentak hidraulik depan dan belakang, sistem brek cakera dengan teknologi CBS, rim 12 inci, lampu LED, paparan meter LCD dan slot pengecasan USB.

E-LTR turut menyediakan ruang simpanan di bahagian bawah tempat duduk, ruang tambahan berkembar di hadapan, serta cangkuk barang.

Skuter ini turut mempunyai fungsi kod ralat untuk memudahkan pengguna mengesan sebarang masalah teknikal dengan pantas.

Berat keseluruhan skuter elektrik ini cuma 98.5 kg tanpa bateri, sementara tinggi pelana pula sekitar 760 mm.

Harga jualan bermula dari RM6,999 (atas jalan tanpa insurans dan pendaftaran), di mana pemilik juga layak untuk menerima rebat MARiiCas sehingga RM2,400.