smart #5 2025 – ini lima perkara yang anda harus tahu
Pro-Net baru-baru ini mengadakan sesi pra-tonton untuk sebuah lagi model SUV elektrik yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, iaitu smart #5 2025.
Model ini dibina berdasarkan platform PMA2+ yang turut sama digunakan pada model keluaran Geely seperti Zeekr 7X.
Berikut merupakan lima perkara yang anda perlu tahu tentang smart #5.
Dimensi
Diposisikan sebagai SUV segmen D, smart #5 membawakan ukuran yang jauh lebih besar jika dibandingkan dengan adik-beradiknya smart #1 dan #3.
SUV ini berukuran 4,705 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,705 mm dengan jarak antara roda 2,900 mm dan jarak kelegaan tanah setinggi 197 mm.
Sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah SUV lasak, smart #5 boleh meredah air sedalam 500 mm.
Luaran
Terdapat dua unit smart #5 yang dipamerkan baru-baru ini.
Versi Brabus tampil dengan kit badan sporti, spoiler belakang, tema warna dua tona, serta padanan rim aloi monoblock Z bersaiz 21 inci yang dibaluti tayar Continental EcoContact 7.
Turut dipamerkan #5 Premium tanpa kit badan Brabus dengan rim aerodinamik bersaiz 20 inci.
Secara keseluruhan, smart #5 membawakan reka bentuk badan berkotak, jauh berbeza jika dibandingkan dengan #1 dan #3.
Dalaman
Untuk ruang kabin, smart #5 dilengkapi dengan skrin kluster 10.3 inci, skrin berkembar OLED sebesar 13 inci, sambungan Apple CarPlay & Android Auto, skrin paparan head-up 25.6 inci dengan realiti terimbuh (AR), sistem pencahayaan ambien 256 warna serta slot pengecasan tanpa wayar.
Penumpang baris kedua pula disediakan dengan butang fungsi ‘Boss’, ‘Comfort Mode’, larasan berkuasa elektrik serta fungsi pemanas.
Dari segi praktikaliti, model ini menyediakan ruang kargo sebesar 1,530 liter, serta ruang kargo hadapan 72 liter.
Varian terendah hanya didatangkan dengan sistem audio 9 pembesar suara, sementara dua varian tertinggi hadir dengan sistem audio Sennheiser dengan 20 pembesar suara.
Varian Brabus pula hadir dengan kelengkapan eksklusif seperti roda stereng Alcantara, trim Dinamica pada tempat duduk dan pintu, serta ciri bunyi enjin simulasi.
Varian
Terdapat tiga varian smart #5:
Pro
– motor elektrik tunggal pacuan roda belakang (RWD)
– kuasa 335 hp/373 Nm
– pecutan 0-100 km/j 6.9 saat
– kelajuan maksimum 200 km/j
– pek bateri LFP 76 kWh
– jarak gerak 465 km (WLTP)
– 11 kW AC
Premium
– kuasa 358 hp/373 Nm
– pecutan 0-100 km/j 6.5 saat
– pek bateri NMC 100 kWh
– jarak gerak 590 km (WLTP)
– 22 kW AC
Brabus
– tetapan dua motor elektrik AWD
– kuasa 637 hp/710 Nm
– pecutan 0-100 km/j 3.8 saat
– kelajuan maksimum 210 km/j
– jarak gerak 540 km (WLTP)
– tetapan suspensi sport
Secara standard, smart #5 dilengkapi dengan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Comfort dan Sport.
smart #5 Brabus pula mendapat tambahan mod pemanduan termasuklah Snow, Sand, Mud, Rock, Adaptif dan juga Brabus.
Dengan senibina elektrik 800V, smart #5 boleh menyokong pengecasan pantas 15 minit dari 10-80 peratus SoC (varian Premium & Brabus sahaja).
Keselamatan
Ciri keselamatan termasuklah enam beg udara, serta teknologi ADAS yang dibantu oleh 12 radar ultrasonik, 5 radar gelombang mm, 4 kamera keliling, 2 kamera HD, dan satu kamera kokpit.
Ini membolehkan #5 menawarkan fungsi seperti brek kecemasan autonomi (AEB), bantuan lorong (LKA, ELKA, LDW), bantuan kesesakan trafik (TJA), bantuan lebuh raya (HWA, ALCA), amaran pelanggaran hadapan (FCMS), amaran lintasan trafik (FCTA, RCTA), sistem pengesanan titik buta, serta ciri parkir autonomi penuh (FAP).
smart #5 Brabus
smart #5 Premium
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.




































