Nissan Roox 2025 tawar ruang kabin luas walaupun kecil dimensinya
Ini pula generasi keempat kei car Nissan Roox 2025.
Untuk makluman, model ini berkongsi platform yang sama dengan model kei car Mitsubishi Delica Mini serta eK Space yang lebih mirip rekaannya dengan Roox.
Reka bentuk Roox adalah lebih kurang sama dengan model terdahulu, namun menampilkan rekaan lampu baharu yang membawakan imej MPV premium.
Direka berdasarkan konsep rekaan ‘Roomy x Max’, Roox menawarkan ruang kabin yang lebih luas dan dalam masa yang sama mengekalkan dimensi kei car yang kecil.
Berbanding generasi terdahulu, panjang keseluruhan ruang dalam bertambah sebanyak 115 mm kepada 2,315 mm.
Tidak cukup dengan itu, Roox juga menawarkan ruang lutut yang terbaik di dalam kelasnya, selain membenarkan kanak-kanak untuk berdiri dengan selesa untuk menukar pakaian semasa kereta tidak bergerak.
Ruang kargo juga cukup besar, dengan panjang sekitar 675 mm dan boleh memuatkan empat beg bagasi 48 liter.
Bukaan pintu gelangsar adalah selebar 650 mm, sementara tempat duduk baris belakang boleh digerakkan sehingga 320 mm.
Terdapat juga beberapa ruang storan tambahan termasuklah tempat letak cawan yang besar, laci barang, tempat meletak peranti pintar dan ruang bertutup di belakang skrin paparan.
Selain itu, terdapat skrin paparan sebesar 12.3 inci – antara yang paling besar pernah dimuatkan pada mana-mana keicar.
Roox juga menawarkan ciri yang pertama untuk kelas kei car, iaitu Intelligent Around View Monitor dengan fungsi pandangan tembus hud depan (Invisible Hood View).
Sistem keselamatan ProPILOT pula kini menampilkan brek kecemasan pintar (AEB), diikuti amaran lintasan trafik belakang (RCTA), sistem pengelakan pelanggaran titik buta pintar (ISB), dan amaran titik buta (BSW).
Pembeli boleh mendapatkan sehingga 17 pilihan warna termasuklah enam warna dua tona untuk varian Standard dan Highway STAR.
Harga jualan dianggarkan bermula dari 1.6 juta yen (RM46 ribu).
Spesifikasi enjin besar kemungkinan tidak berubah dan masih mengekalkan nadi 658 cc yang mampu menjana 52 hp dan 60 Nm.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.































