Sayonara! Produksi Nissan GT-R R35 akhirnya tamat selepas 18 tahun

Nissan GT-R Final Production 2025 (11)

Setelah 18 tahun produksi, Nissan akhirnya melabuhkan tirai untuk model berprestasi tinggi GT-R generasi R35.

Sepanjang tempoh produksi dari tahun 2007 hingga sekarang, Nissan telah memasang kira-kira 48,000 unit GT-R.

Unit terakhir yang keluar daripada barisan pengeluaran ialah GT-R Premium Edition T-Spec berwarna Midnight Purple yang akan dihantar kepada pemiliknya di Jepun.

Adakah ini satu penamat yang sebenar buat generasi GT-R?

Menurut CEO Nissan Ivan Espinosa berkata, “dalam tempoh lebih 18 tahun, Nissan GT-R R35 telah meninggalkan jejak di dalam sejarah automotif.

“Buat peminat GT-R, ini bukanlah ucapan selamat tinggal yang kekal untuk GT-R. Model ini akan muncul semula satu hari nanti.

Namun begitu, beliau tidak mendedahkan perincian berhubung perancangan untuk menghidupkan semula GT-R kelak.

“Saya meminta anda semua untuk sabar menunggu. Kami belum memuktamadkan rancangan, namun GT-R akan berevolusi dan muncul semula kelak.”

Nissan sebelum ini mengejutkan dunia dengan kemunculan model konsep Hyper Force yang digembar-gemburkan sebagai pengganti GT-R R35 di Japan Mobility Show 2023.

Model konsep itu dikatakan mampu menjana kuasa setinggi 1,341 hp, mencapai kelajuan 322 km/j dan dilengkapi teknologi bateri pejal (solid-state battery).

Nissan sebenarnya mempunyai cabaran yang lebih berat berbanding rancangan untuk meneruskan kesinambungan model GT-R.

Di bawah pelan pemulihan Re:Nissan, pengeluar itu sedang bersiap untuk menutup sehingga tujuh kilang pemasangan dan mengurangkan sehingga 20,000 tenaga pekerja.

Jadi, memandangkan Nissan GT-R merupakan model volum rendah, mungkin sukar untuk kita melihat kemunculan generasi baharu GT-R dalam masa terdekat, walaupun jelas sekali pucuk pimpinan Nissan mahu menjadikan GT-R baharu sebagai agenda jangka panjang mereka.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved