Projek restomod ‘Octavia’ oleh Ringbrothers ini asalnya sebuah Aston Martin DBS 1971
Sekali imbas, jentera yang ada di depan mata ini mungkin akan dianggap sebagai sebuah Ford Mustang yang telah direstorasi dan dipasangkan dengan panel badan serba baharu.
Jawapan tersebut boleh dikategorikan sebagai separuh betul dan separuh salah.
Ini kerana jentera ini asalnya merupakan sebuah Aston Martin DBS 1971 dengan panel badan gentian karbon yang dihasilkan oleh oleh Ringbrothers yang berpangkalan di Wisconsin.
Rekaan panel badan yang lebih mirip kepada kereta muscle itu mengambil masa 3,900 jam untuk proses rekaan, dan disusuli proses pembentukan dan pembinaan yang memakan masa 8,200 jam untuk disiapkan.
Selain itu, jarak trek roda hadapan bertambah lebar sebanyak 203 mm, sementara trek roda belakang pula 254 mm lebih lebar.
Tidak cukup dengan itu, jarak antara roda juga bertambah 76 mm lebih panjang, menyumbang kepada penampilan yang lebih gagah di atas jalan raya.
Octavia dikuasakan oleh enjin Coyote V8 5.0 liter daripada Ford yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 805 hp yang memacu roda belakang menerusi transmisi manual Tremec enam-kelajuan.
Rahsia di sebalik kuasa bertaraf supercar itu ialah padanan unit pengecas lampau kustom 2.65 liter daripada Happop, diikuti sistem bahan api yang telah diubahsuai serta sistem ekzos kustom Ringbrothers.
Antara ciri lain termasuklah suspensi RS SV daripada Fox Racing, sistem brek Brembo, serta rim HRE yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport Cup 2s.
Ruang kabin Octavia nampak lebih mewah jika dibandingkan dengan tetapan model asal.
Ia menampilkan gandingan elemen prestasi, kemewahan, kemodenan dan unsur klasik DBS yang disumbangkan oleh penggunaan bahan balutan kulit, diikuti bahan gentian karbon, gangsa dan juga billet aluminium.
Menurut Jim Ring selaku pemilik bersama Ringbrothers, “Octavia merupakan kombinasi imaginasi dan proses rekaan yang terkini.
“Kami bertanya kepada diri sendiri, ‘Apakah yang bakal dipandu oleh ejen perisikan MI6 ketika sedang bercuti?'”
“Inilah hasilnya.”
Aston Martin DBS 1971
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.


























