BYD Malaysia lancar Seal yang dinaik taraf, umum program CKD di Tanjung Malim

BYD Seal 2025 xtra 1

BYD Sime Motors mengumumkan pelancaran model Seal 2025 yang dinaik taraf untuk pasaran tempatan.

Sedan elektrik Seal versi naik taraf ini ditawarkan dalam dua varian, iaitu varian Premium dan Performance.

Varian Premium didatangkan dengan motor elektrik pacuan belakang menghasilkan 313 PS dan 360 Nm, serta pek bateri 82.56 kWh untuk jarak pandu sejauh 650 km (data NEDC).

Sementara varian Performance pula mendapat tetapan dua motor elektrik menghasilkan output 530 PS/670 Nm, membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat.

Pek bateri berkapasiti serupa membenarkan jarak pandu sejauh 580 km.

Secara standard, BYD Seal dilengkapi tetapan suspensi jenis double wishbone di depan, dibantu dengan multi-link di belakang.

Untuk varian Premium, ia menampilkan penyerap hentak Frequency Selective Damping (FSD) untuk keseimbangan kawalan dan keselesaan, sementara varian Performance pula mendapat sistem kawalan pintar DiSus-C.

Kedua-dua varian mendapat rim aloi rekaan baharu saiz 19 inci, diikuti dengan akses tanpa kunci, tirai bumbung suria berkuasa elektrik, dan pemegang kaca mata hitam.

Sementara varian Performance pula mendapat angkup brek berwarna merah untuk penampilan yang lebih sporti.

Untuk pasaran Malaysia, BYD Seal 2025 ini ditawarkan dalam pilihan warna Aurora White, Atlantis Grey, Cosmos Black dan warna baharu Shark Grey.

Harga jualan bermula dari RM171,800 untuk varian Premium, dan RM191,800 untuk varian Performance.

300 orang pemilik terawal BYD Seal akan mendapat pakej promosi bernilai RM10,888 merangkumi pengecas dinding percuma, pakej servis dan rebat khas.

 

Pengumuman program CKD dan pelancaran pusat 3S terbesar

Dalam acara yang sama, BYD Malaysia mengumumkan program CKD serta perancangan untuk mendirikan kilang pemasangan baharu di Tanjung Malim.

Fasiliti seluas 600,000 meter persegi itu akan mula beroperasi pada tahun 2026.

Menurut Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik berkata, “Malaysia telah menjadi salah satu pasaran terpenting BYD di Asia Tenggara.

“Dengan sokongan kuat daripada Sime Motors, kami yakin untuk mengukuhkan kedudukan kami di Malaysia dan membawa bersama teknologi EV bertaraf dunia untuk pelanggan tempatan.

BYD Sime Motors turut merasmikan pembukaan pusat 3S BYD Balakong yang dikendalikan oleh Wing Hin Ventures Sdn Bhd.

Dengan pembukaan pusat 3S ini, BYD Malaysia kini mempunyai sebanyak 36 outlet di seluruh Malaysia.

Pusat 3S BYD yang terbesar di Malaysia ini mempunyai keluasan sekitar 3,360 meter persegi dengan dua tingkat untuk ruang pameran, 10 ruang servis, dan 1,514 meter persegi yang dikhususkan untuk perkhidmatan selepas jualan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved