Tesla China lancar Model Y L serta aksesori tuil signal fizikal untuk Model 3 Highland
Kenderaan dengan jarak antara roda yang panjang (terutama sedan) merupakan satu pilihan yang popular di Tanah Besar China.
Tidak menghairankan apabila kereta sekecil Mercedes-Benz A-Class turut mendapat varian L di sana.
Pendekatan yang sama diguna pakai oleh Tesla, di mana syarikat tersebut tampil dengan sebuah model baharu, iaitu Model Y L dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk.
Sesuai dengan penambahan huruf L di belakang nama, Model Y L ini mendapat penambahan dimensi 179 mm lebih panjang berbanding model standard, dan 44 mm lebih tinggi.
Perubahan tersebut menjadikan ukuran baharu Tesla Model Y L ini menjadi sepanjang 4,976 mm, lebar 2,129 mm, dan tinggi 1,668 mm.
Jarak antara roda juga bertambah 149 mm daripada 2,891 mm kepada 3,040 mm.
Penambahan dimensi itu memberikan kesan kepada beberapa bahagian, seperti contoh pintu penumpang belakang yang lebih panjang, serta perumah cermin yang telah disemak semula.
Selain itu, Model Y L ini mendapat rim 19 inci dengan rekaan unik serta spoiler belakang yang lebih menonjol.
Untuk ruang kabin, skrin tengah asal telah digantikan dengan paparan 16 inci, kawalan suhu untuk kerusi kapten baris kedua, fungsi pemanas untuk tempat duduk baris ketiga, bumbung kaca panorama, sistem audio 18 pembesar suara dan skrin belakang sebesar lapan inci.
Jika tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat, ia akan menyediakan ruang kargo sebesar 2,539 liter, atau 401 liter lebih besar berbanding Model Y standard.
Dengan tetapan dua motor elektrik, Tesla Model Y L dikatakan mampu memecut sepantas 4.5 saat dari 0-100 km/j, atau 0.2 saat lebih perlahan berbanding penawaran sedia ada.
Ini adalah disebabkan dimensi yang lebih panjang menyumbang kepada penambahan 96 kg, menjadikan berat keseluruhan mencecah 2,088 kg.
Untuk menampung penambahan berat itu tadi, aspek gantungan telah dinaik taraf untuk kawalan pemanduan yang lebih jitu dan lancar.
Pek bateri NMC 82 kWh pula membenarkan jarak pandu sejauh 751 km untuk sekali cas penuh.
Di pasaran China, Tesla Model Y L ini dijual pada harga bermula dari RMB 339,000 (RM235 ribu).
Dalam perkembangan berasingan, Tesla China mengembalikan semula tuil lampu isyarat membelok fizikal untuk semua varian Model 3 Highland.
Pemilik Tesla Model 3 Highland sedia ada boleh mendapatkan pakej tuil tersebut menerusi kedai dalam talian dengan harga RMB2,499 (RM1,470).
Pemasangan aksesori tersebut hanya boleh dibuat di rangkaian Tesla Service Centre, di mana juruteknik akan memasang komponen tersebut menggunakan peralatan khas.
Aksesori sebegini sudah pun ditawarkan oleh pihak ketiga seperti Enhance Auto menerusi produk S3XY Stalks yang menawarkan penyelesaian untuk pemilik yang mahukan kawalan pemanduan tradisional pada kenderaan elektrik mereka.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.






















