Omoda C9 PHEV mampu capai jarak pandu sejauh 1,100 km, jangkaan pelancaran tahun ini
Selain model Jaecoo J5, Omoda | Jaecoo Malaysia bakal melancarkan sebuah lagi model SUV, iaitu Omoda C9 varian plug-in hybrid (PHEV) tahun ini.
Jika varian bukan hibrid didatangkan dengan enjin 2.0L turbo (261 PS/400 Nm), varian PHEV pula didatangkan dengan nadi 1.5 liter yang dipadankan dengan tiga motor elektrik.
Kuasa keseluruhan mencecah 605 PS dan daya kilas 915 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat.
Dengan gandingan transmisi hibrid DHT tiga-kelajuan, Omoda C9 PHEV mencatatkan kadar penggunaan bahan api serendah 1.7 liter/100 km.
Pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 34.46 kWh pula menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 150 km, dan jarak pemanduan keseluruhan yang mampu mencecah 1,100 km.
Ia turut menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 70 kW.
Sama seperti model C9 ICE, C9 PHEV juga dilengkapi dengan tetapan suspensi topang MacPherson dan Multi-link, serta sistem Kawalan Redaman Berterusan (CDC) yang boleh melaras tindak balas suspensi sehingga 100 kali sesaat.
Terdapat sehingga tujuh mod pemanduan untuk disesuaikan dengan keadaan pemanduan semasa.
Harga jualan bagi Omoda C9 PHEV dianggarkan sekitar RM220,000.
Untuk makluman, Omoda C9 varian biasa dijual pada harga bermula RM168,000 untuk versi 2WD, dan RM188,000 untuk versi pacuan semua roda (AWD).
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.




















