Zeekr Malaysia baru-baru ini merasmikan pembukaan bilik pameran Zeekr Center KLCC sebagai sebuah hab bagi mobiliti premium serba baharu di Kuala Lumpur.
Terletak secara strategik di dalam kawasan Segi Tiga Emas, Zeekr Center KLCC ini merupakan outlet kedua yang dikendalikan oleh pengedar sah Preeminent Auto Sdn Bhd selepas Zeekr Center IOI Mall Puchong.
Dengan keluasan 4,800 kaki persegi, Zeekr Center KLCC ini mampu memuatkan lima buah kenderaan pameran, serta lengkap dengan tiga unit pengecasan AC.
Serentak dengan pembukaan fasiliti tersebut, Zeekr Malaysia turut mengumumkan harga jualan rasmi bagi model Zeekr 009 varian asas Executive bermula dari RM299,800 (atas jalan tanpa insurans).
Tidak seperti penawaran terdahulu, Zeekr 009 Executive hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal pacuan roda depan, serta jarak gerak sejauh 604 km untuk sekali cas penuh.
Ia merupakan satu pilihan alternatif bagi mereka yang kerap melakukan perjalanan jauh tanpa berkompromi aspek keselesaan dan teknologi.
Setiap pembelian Zeekr 009 Executive akan disertakan dengan pakej berikut:
– jaminan kenderaan selama lima tahun atau had perbatuan 150,00 km
– jaminan bateri 8-tahun/had perbatuan 160,000 km
– akses satu tahun percuma untuk Zeekr App, sistem navigasi dan kemas kini over-the-air (OTA)
Selain itu, pemilik Zeekr 009 akan mendapat pakej pengecasan dinding 11 kW, pengecas mudah alih, serta filem penapis solar secara percuma.
Zeekr 009 Executive
