QJMotor SRK250R 2025 rasmi di Malaysia – dari RM9,988

Pasaran motosikal segmen 250 cc di Malaysia kini dimeriahkan lagi dengan kehadiran jentera baharu QJMotor SRK250R 2025.

Dilancarkan bersempena dengan pembukaan Mforce Smart Shop W H S Motor Sdn Bhd di Banting, QJMotor SRK250R ini ditawarkan pada harga istimewa RM9,988 untuk 1,000 orang pemilik pertama.

Dari segi kuasa, SRK250R dijana dengan enjin silinder tunggal 249 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 27.5 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 7,250 rpm.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan, klac basah berbilang plat, serta sistem pacuan akhir rantai.

QJMotor SRK250R menampilkan fork teleskopik hadapan jenis terbalik (USD), diikuti penyerap hentak tunggal boleh laras di belakang.

Sistem brek terdiri daripada rotor bersaiz 300 mm di depan, dibantu dengan rotor 240 mm belakang dan sistem ABS dua saluran.

Antara kelengkapan lain termasuklah sistem pencahayaan LED penuh depan belakang, rim bersaiz 17 inci, slot pengecasan USB Type-A dan Type-C, tangki bahan api 12.5 liter dan tinggi pelana 780 mm.

Skrin paparan digital berwarna penuh turut menyokong sambungan kepada peranti pintar menggunakan teknologi Bluetooth.