Lamborghini Fenomeno: 1,080 PS, 0-100 km/j dalam 2.4 saat, 29 unit sahaja

Lamborghini Fenomeno 01

Lamborghini baru-baru ini memperkenalkan Fenomeno, supercar terbarunya yang diterhadkan kepada 29 unit sahaja.

Model ini dihasilkan bagi meraikan ulang tahun ke-20 Lamborghini Centro Stile, studio rekaan jenama itu yang terletak di Sant’Agata Bolognese, Itali.

Ia juga meneruskan tradisi Lamborghini dalam menghasilkan model eksklusif edisi terhad seperti Reventon, Sesto Elemento, Veneno, Centenario, Sian, dan Countach.

Fenomeno dikuasakan oleh enjin V12 paling berkuasa dalam sejarah Lamborghini, bersesaran 6.5 liter yang mampu menghamburkan kuasa mencecah 835 PS.

Enjin itu tidak mempunyai pengecas turbo, namun ia digabungkan dengan tiga motor elektrik yang memberi suntikan tambahan sebanyak 245 PS, menjadikan jumlah keseluruhan 1,080 PS!

Dengan nisbah berat-ke-kuasa 1.64 kg bagi setiap PS, kereta ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.4 saat dan mencapai 200 km/j dalam hanya 6.7 saat, menjadikannya Lamborghini terpantas setakat ini. Kelajuan maksimum pula melebihi 350 km/j.

Dalam sistem hibrid ini, enjin V12 memacu roda belakang, dibantu sebuah motor elektrik yang diletakkan di dalam kotak gear DCT lapan kelajuan, manakala dua motor elektrik lagi ditugaskan untuk menggerakkan roda depan.

Sistem ini memberikan Fenomeno pemanduan elektrik sepenuhnya, pemvektoran tork, serta sistem brek janaan semula.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan sistem brek seramik karbon CCM-R Plus, suspensi yang ditala khas, dan tayar Bridgestone Potenza khusus untuk cengkaman maksimum di jalan raya dan litar.

Turut disertakan adalah sensor 6D bagi mengukur pecutan dalam tiga arah (lateral, longitudinal, dan vertikal) secara masa nyata, serta halaju sudut untuk semua tiga paksi (pitch, roll, dan yaw).

Dari segi rekaan, Fenomeno adalah “manifesto reka bentuk” yang menggabungkan DNA Lamborghini dengan kecekapan aerodinamik.

Ini dapat dilihat menerusi bentuk ‘longtail’ seakan Essenza SCV12, liang udara besar pada bahagian hadapan, sayap belakang aktif, liang S-duct, dan casis monofuselage yang diperbuat daripada gentian karbon.

Di dalam, pemandu menjadi fokus utama dengan adanya tiga skrin digital, liang ventilasi yang dihasilkan menerusi pencetakan 3D, dan tempat duduk bucket.

Sudah tentu, pemilik boleh menyesuaikan jentera mereka menerusi program Ad Personam yang menawarkan lebih 400 warna luaran dan pelbagai jenis kemasan untuk bahagian dalaman.

Harganya masih belum diketahui, tetapi Fenomeno dijangka dijual pada harga puluhan juta ringgit. Dengan bilangan yang sangat kecil, tidak hairan jika semua unit sudah habis ditempah.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved