Shelby Super Snake-R: apabila Mustang Dark Horse diberi suntikan steroid

2026_supersnaker_gallery_01

Ford Mustang Dark Horse sudah pun dikenali sebagai salah satu model Mustang keluaran kilang yang paling berkuasa.

Namun, dengan suntikan steroid daripada Shelby American, terhasillah jentera berbadan lebar yang menghasilkan lebih daripada 850 hp yang dikenali sebagai Shelby Super Snake-R.

Nadi Super Snake-R ialah enjin 5.0-liter Coyote V8 yang dipadankan dengan supercharger Whipple 3.0-liter. Pembeli boleh memilih sama ada transmisi manual enam kelajuan Tremec TR-3160 atau transmisi automatik 10 kelajuan.

Selain menggunakan supercharger, peningkatan kuasa dicapai menerusi penggunaan sistem penyejukan yang dinaik taraf, half-shaft berprestasi tinggi, dan sistem ekzos Borla cat-back.

Bagi memastikan casis mampu menampung kuasa, Shelby melengkapkan Super Snake-R dengan sistem suspensi coilover boleh laras sepenuhnya, bearing sfera logam, dan strut bar belakang. Naik taraf ini meningkatkan ketepatan pengendalian, dan kestabilan pada kelajuan tinggi.

Bahagian roda dan tayar turut diberi perhatian. Super Snake-R menggunakan roda aloi magnesium yang dibangunkan bersama BlueTech Global dan MP Wheels berukuran 20×11 di hadapan dan 20×13 di belakang.

Menurut Shelby, ia mengurangkan jisim putaran sebanyak 4.08 kg setiap roda, bersamaan dengan pengurangan kira-kira 81.6 kg berat statik. Tayar belakang yang lebih lebar meningkatkan cengkaman dan kestabilan semasa memecut atau membelok, manakala bahan magnesium membantu pelesapan haba serta menyerap getaran.

Rekaan luaran bukan sahaja memberikan Super Snake-R rupa lebih ganas, tetapi turut meningkatkan prestasi. Selain badan yang lebih lebar untuk memberi ruang kepada roda, Shelby menggunakan komponen-komponen gentian karbon bagi mengurangkan berat, serta menambah baik aliran udara.

Pelanggan boleh memilih daripada lima warna iaitu Grabber Blue Metallic, Race Red, Oxford White, Shadow Black, dan Carbonized Gray Metallic.

Sementara itu, untuk bahagian dalam, tempat duduk belakang dibuang dan digantikan dengan strut bar bagi mengurangkan berat serta menambah kekakuan casis. Naik taraf lain termasuk kerusi kulit dan Alcantara dengan sulaman Super Snake-R, plak nombor siri pengeluaran, dan tombol gear billet untuk versi manual.

Super Snake-R merupakan model ketiga Shelby yang dibina berdasarkan Mustang generasi S650 dan merupakan Super Snake paling ekstrem setakat ini. Harganya bermula daripada $224,995 (RM947,903).

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved