Garagisti GP1 – raksasa V12 analog 800 hp!
Anda mungkin sekali sudah bosan dengan barisan kereta elektrik yang ada di pasaran.
Ya, biarpun dengan prestasi yang mampu mengalahkan mana-mana supercar, namun kebanyakannya tidak mempunyai jiwa, bunyi dan pengalaman mekanikal yang sebenar.
Disinilah wujudnya sebuah jentera analog yang dapat mengisi kekosongan tersebut yang dihasilkan oleh firma kejuruteraan Britain, Garagisti & Co, iaitu GP1.
GP1 didatangkan dengan nadi bentangan V12 6.6 liter aspirasi semula jadi (NA) yang dibina sepenuhnya dari kosong oleh syarikat Itali Italtecnica.
Secara keseluruhan, GP1 berupaya menjana kuasa setinggi 800 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 700 Nm yang dipadankan dengan kotak gear manual Xtrac dan sistem pacuan roda belakang.
Selain itu, GP1 menampilkan casis monocoque carbon, sistem gantungan Ohlins, dan sistem brek Brembo.
Rekaan luaran yang cukup berseni ini dihasilkan oleh bekas pereka Bugatti dan Rimac, Angel Guerra di mana beliau banyak mengambil inspirasi daripada model ikonik seperti Lancia Stratos Zero dan Lamborghini Countach.
Bersesuaian dengan tema analog, ruang kabin GP1 tidak dicemari dengan kehadiran skrin sentuh saiz gergasi.
Sebaliknya, ia hanya dibekalkan dengan roda stereng, tuil transmisi manual tradisional, beberapa butang kawalan fizikal, dan konsol tengah yang agak tinggi memisahkan antara pemandu dan penumpang.
Hanya 25 unit sahaja GP1 yang akan diproduksikan, setiap satu dianggarkan bernilai £2.45 juta (RM13.94 juta) tidak termasuk cukai, kos penghantaran dan kos penyesuaian.
12 pembeli terawal akan diberikan penghormatan untuk menyertai program Open Door Garagisti yang menawarkan peluang bertemu dengan para jurutera dan pereka di sebalik GP1.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

























