Perodua, Maybank Islamic lancar pelan pembiayaan Flexiplan patuh Syariah
Perodua berganding bahu dengan Maybank Islamic Berhad untuk menawarkan pelan pembiayaan Perodua Flexiplan patuh Syariah pertama di Malaysia.
Dikuasakan oleh Maybank Islamic myimpact Drive Financing-i, pelan pembiayaan ini membolehkan pelanggan menikmati manfaat berikut:
- Tawaran Pembiayaan Kenderaan Murabahah Bertempoh yang sangat kompetitif, dengan bayaran bulanan lebih berpatutan untuk tempoh lima tahun pertama.
- Tawaran beli semula kenderaan pada harga kompetitif berbanding nilai pasaran – tertakluk kepada terma dan syarat
- Kebebasan pemilikan – pelanggan boleh menukar kenderaan mereka kepada model baharu atau mengekalkan kenderaan sedia ada dengan pelan bayaran yang disemak semula
Di bawah Perodua Flexiplan, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan model Myvi, Axia (tidak termasuk Axia E), Ativa dan juga Aruz.
Pada tahun kelima pelan ini, pelanggan mempunyai pilihan berikut:
- Menukar kenderaan sedia ada kepada yang baharu, dengan nilai tukar beli terjamin digunakan untuk mengurangkan bayaran pendahuluan dan memulakan semula tempoh lima tahun tersebut
- Pelanggan boleh memilih untuk mengekalkan kenderaan sedia ada dengan melunaskan baki tertunggak, atau melanjutkan pembiayaan sehingga empat tahun lagi di bawah pelan bayaran baharu.
Perodua berharap pelan baharu ini dapat meningkatkan akses kepada pemilikan kenderaan, dan memberikan pilihan kepada pelanggan untuk menukar kenderaan dengan mudah mengikut keperluan.
Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, “Hari ini Perodua dan Maybank Islamic mencipta sejarah baharu bergabung tenaga menawarkan pakej pembiayaan terbaik bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat, terutama pelanggan kami yang dihargai.”
“Kami percaya dengan sokongan daripada bank terbesar di malaysia, digabungkan dengan kepercayaan yang telah kami bina daripada rakyat Malaysia, Perodua Flexiplan akan diterima dengan baik,” tambahnya.
Sementara itu, Syed Ahmad Taufik Albar selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Komunit dan Kewangan, Maybank berkata, “Kami di Kumpulan Maybank sentiasa komited untuk memperkasa pelanggan dengan penyelesaian kewangan yang fleksibel, telus, inklusif dan mampan, dan Maybank Islamic myimpact Drive Financing-i adalah cerminan pendekatan berteraskan nilai kami.”
Pelan pemilikan kereta baharu ini turut memperkayakan ekosistem penyelesaian patuh Syariah untuk pemilik kenderaan Perodua, termasuklah perlindungan takaful komprehensif Perodua Total Protect Plus yang dilindungi oleh Etiqa, serta Takaful Perlindungan Baki Pinjaman (Credit Reducing Term Takaful) sebagai lapisan perlindungan tambahan untuk pelanggan.
Dengan pelan terbaharu ini, Perodua dan Maybank Islamic menyasarkan untuk menetapkan penanda aras baharu bagi pemilikan kenderaan di Malaysia.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.


