QJMotor Malaysia melancarkan sebuah lagi model baharu, QJMotor SRK250S bersempena dengan upacara pembukaan Mforce SmartShop Tat Kang Motor Sdn Bhd.
Motosikal sport naked tersebut dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 27.5 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 7,250 rpm.
Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan, klac basah berbilang plat dan sistem pacuan akhir rantai.
Suspensi jentera ini terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik, diikuti dengan penyerap hentak gegelung tunggal boleh laras serta redaman minyak di bahagian belakang.
Sistem brek pula menggunakan rotor bersaiz 300 mm di depan, dibantu dengan rotor bersaiz 240 mm dan sistem ABS dua saluran.
Ciri lain yang dimuatkan termasuklah sistem pencahayaan LED, lampu isyarat kecemasan, serta slot pengecasan USB Type-A.
Segala info boleh dibaca menerusi skrin paparan digital yang turut menyokong sambungan Bluetooth kepada peranti pintar.
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 12.5 liter, sementara tinggi pelana pula sekitar 780 mm.
Terdapat dua pilihan warna iaitu hitam dan kelabu.
Untuk pasaran Malaysia, QJMotor SRK250S ini dijual pada harga bermula dari RM9,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
