Datuk Remy Ishak dilantik Duta Jenama GAC Malaysia

005 GAC Malaysia Expands Brand Ambassador Line-Up

GAC Malaysia mengalu-alukan pelakon dan personaliti terkenal Datuk Remy Ishak sebagai duta jenama terbaharunya.

Datuk Remy Ishak akan menyertai duta sedia ada Jack Lim untuk terus mewakili jenama GAC sebagai sebahagian daripada persiapan untuk menyambut kehadiran dua model baharu, iaitu GAC Emkoo dan GAC M8 PHEV.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd, Tan Keng Meng berkata, “sepanjang perjalanan permulaan GAC Malaysia, Jack Lim telah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan jenama ini kepada khalayak baharu.

“Bermula dari mempromosi, menjual dan berkongsi pengalaman dengan GAC GS3 Emzoom, Jack telah menjadi lebih dari sekadar seorang duta, beliau telah menjadi seorang penyokong sejati.

“Kami kini teruja untuk mengalu-alukan Datuk Remy Ishak ke dalam keluarga GAC. Remy membawakan gabungan unik karisma, profesionalisme dan pengaruhnya di kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

GAC Malaysia turut mengumumkan kempen pra-jualan yang berlangsung untuk dua model baharunya.

GAC Emkoo merupakan sebuah SUV segmen C, dan model kedua yang dipasang secara CKD oleh GAC selepas model GS3 Emzoom.

Ia dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 177 PS @ 5,500 rpm dan 270 Nm @ 1,400-5,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan.

Terdapat dua varian yang bakal ditawarkan, iaitu Premium dengan harga anggaran dari RM120,000, serta Premium Pro bermula dari RM130,000.

Kumpulan pertama pemilik GAC Emkoo akan menerima unit masing-masing menjelang akhir September 2025, atau mungkin lebih awal.

Model kedua yang bakal dilancarkan oleh GAC Malaysia ialah MPV mewah GAC M8 PHEV.

Diimport sepenuhnya dari China, M8 PHEV dikuasakan oleh nadi 2.0 liter turbo (190 PS/300 Nm) yang dipadankan dengan transmisi hibrid dua-kelajuan, motor elektrik 182 PS/300 Nm dan pek bateri 25.57 kWh.
Secara keseluruhan, MPV ini mampu menjana kuasa setinggi 373 PS dan 630 Nm, dengan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat.

Untuk setangki penuh minyak, GAC M8 PHEV mampu menawarkan jarak gerak sejauh 1,038 km.

Terdapat dua varian, iaitu M8 Premium dengan harga anggaran RM333,000, dan varian M8 Luxury berharga RM380,000.

 

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved