Honda Prelude 2026 bakal dilancarkan di Jepun September ini

Honda Prelude 2026 (Japan) (2)

Setelah sekian lama sesi acah dibuat, Honda akhirnya mengesahkan model generasi keenam Prelude bakal dilancarkan secara rasmi di pasaran Jepun pada September ini.

Honda Prelude pertama kali membuat kemunculan di persada dunia bersempena dengan acara pameran Japan Mobility Show 2023, dua tahun lepas.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Lebih daripada sekadar sebuah Civic coupe

Honda menggunakan asas Civic untuk membangunkan model Prelude, namun dengan pendekatan rekaan yang lebih berbeza.

Pada model Prelude, ia menampilkan tayar berdiameter besar, jarak antara roda yang optimum serta rekaan keseluruhan yang diilhamkan daripada peluncur.

 

2. Kereta sports ideal

Honda tidak berniat untuk menjadikan Prelude jauh lebih sporti berbanding penawaran Civic Type R sedia ada.

Namun begitu, Prelude tetap disifatkan sebagai sebuah kereta sports yang ideal – menggandingkan keseimbangan antara prestasi dan praktikaliti.

Ini disumbangkan dengan penggunaan komponen Civic Type R seperti suspensi hadapan dua paksi dan angkup brek Brembo, serta ciri praktikaliti seperti konfigurasi 2+2, tempat duduk baris kedua boleh lipat, storan bawah lantai dan bukaan pintu tailgate yang besar.

 

3. Spesifikasi penuh masih lagi rahsia

Buat masa ini, Honda masih belum sedia mendedahkan spesifikasi penuh coupe hibrid ini.

Apa yang pasti, tiada penawaran transmisi manual akan disediakan.

Honda Prelude akan menggunakan tetapan nadi hibrid 2.0 liter dengan dua motor elektrik yang dipinjamkan daripada Civic Hybrid yang mana ia menghasilkan 200 hp dan 315 Nm.

Antara teknologi baharu termasuklah mod S+ Shift yang akan mensimulasikan penukaran gear – sama seperti apa yang wujud pada Hyundai Ioniq 5 N.

 

4. Ruang kabin

Biarpun menggunakan asas Civic, susun atur papan pemuka Prelude telah diberikan nafas tersendiri.

Selain skrin kluster digital 10.25 inci dan skrin tengah 9 inci yang sama macam Civic, Prelude mengguna pakai rekaan roda stereng jenis bawah rata dengan penanda pukul 12, kemasan jahitan biru dan corong pendingin hawa yang lebih kecil.

Pada konsol tengah pula menempatkan butang pilihan operasi transmisi PRND, butang mod pemanduan serta butang khas untuk S+ yang telah disebutkan di atas.

 

5. Aksesori dah pun siap tersedia

Honda Jepun turut menawarkan pakej aksesori Sports Style untuk pemilik yang mahukan imej yang lebih garang.

Ia terdiri daripada trim jeriji mengikut warna badan, spoiler belakang hitam, perumah cermin sisi hitam, serta rim rekaan baharu saiz 19 inci.

Jika anda ingat, Honda Malaysia ada mempamerkan model Prelude Concept semasa acara pameran KLIMS tahun lepas.

Adakah ia petanda model Prelude ini bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia kelak?

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved