Keeway XDV180 Evo 2025 rasmi di Malaysia – harga dari RM9,388
Sebuah lagi model skuter kembara terbaharu yang sudah pun rasmi memasuki pasaran Malaysia, iaitu Keeway XDV180 Evo 2025.
Skuter itu dilancarkan bersempena dengan pembukaan Mforce Smartshop Wee Biker Sdn Bhd.
Dari segi kuasa, XDV180 Evo dilengkapi dengan enjin silinder tunggal 174 cc sejukan cecair menghasilkan 18.2 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 17.2 Nm @ 6,500 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi gear automatik CVT dan pacuan akhir tali sawat.
Suspensi skuter ini terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik diikuti penyerap hentak berkembar di belakang.
Selain itu, ia dilengkapi dengan sistem brek cakera depan dan belakang, dibantu dengan ciri ABS dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS) yang boleh dimatikan.
Ciri lain termasuklah rim 14 inci depan/13 inci belakang, tangki bahan api sebesar 10 liter, penghadang angin boleh laras manual, serta rak belakang yang mampu menampung kotak simpanan 45 liter.
Terdapat juga skrin paparan TFT bersaiz tujuh inci, slot pengecasan USB, serta kamera perakam tunggangan hadapan yang lengkap dengan storan sebesar 32GB.
Harga jualan bermula dari RM9,388 tidak termasuk cukai jalan dan insurans, lengkap dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau had perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.




















