BMW mengumumkan bahawa M3 CS Touring telah berjaya melakukan catatan masa 7:29.490 minit di Nurburgring-Nordschleife, sekaligus menjadikannya model wagon terpantas yang pernah mengelilingi litar sepanjang 20.832 km yang digelar “Green Hell” itu.
Rekod ini dicapai oleh jurutera pembangunan BMW M, Jörg Weidinger, yang menjadi individu pertama mencatat masa bawah 7:30 minit dengan kereta jenis wagon. Rekod sebelumnya, yang dilakukan oleh M3 Touring pada tahun 2022, adalah 7:35.060 minit.
Ini menunjukkan bahawa biarpun hadir dalam bentuk wagon, prestasi M3 CS Touring tidak jauh ketinggalan berbanding model coupe atau sedan yang lebih ringan.
Kereta ini dikuasakan oleh enjin 3.0-liter enam silinder sebaris dengan 550 PS dan 650 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan sistem pacuan M xDrive, ia mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam 3.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 300 km/j.
Teknologi casis jentera ini ditala untuk prestasi maksimum, termasuk sistem suspensi, stereng, dan kawalan kestabilan yang dioptimumkan untuk pemanduan di litar.
Ia didatangkan standard dengan sistem brek M Compound namun untuk kuasa henti yang lebih mantap, pelanggan boleh mendapatkan brek seramik karbon M yang bukan sahaja lebih berkuasa tetapi juga lebih ringan.
Jentera BMW M telah meraih pelbagai kejayaan di litar, termasuk 21 kemenangan keseluruhan dalam perlumbaan 24 jam.
