BMW M3 CS Touring jadi wagon terpantas di Nurburgring dengan rekod 7 minit 29 saat

P90612805_highRes_the-first-ever-bmw-m

BMW mengumumkan bahawa M3 CS Touring telah berjaya melakukan catatan masa 7:29.490 minit di Nurburgring-Nordschleife, sekaligus menjadikannya model wagon terpantas yang pernah mengelilingi litar sepanjang 20.832 km yang digelar “Green Hell” itu.

Rekod ini dicapai oleh jurutera pembangunan BMW M, Jörg Weidinger, yang menjadi individu pertama mencatat masa bawah 7:30 minit dengan kereta jenis wagon. Rekod sebelumnya, yang dilakukan oleh M3 Touring pada tahun 2022, adalah 7:35.060 minit.

Pencapaian ini meletakkan M3 CS Touring di dalam kelompok teratas model BMW segmen pertengahan, hanya di belakang M3 CS (7:28.760), M4 CS (7:21.989), dan M4 CSL (7:18.137).

Ini menunjukkan bahawa biarpun hadir dalam bentuk wagon, prestasi M3 CS Touring tidak jauh ketinggalan berbanding model coupe atau sedan yang lebih ringan.

Kereta ini dikuasakan oleh enjin 3.0-liter enam silinder sebaris dengan 550 PS dan 650 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan sistem pacuan M xDrive, ia mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam 3.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 300 km/j.

Walaupun berprestasi tinggi, M3 CS Touring tetap praktikal untuk kegunaan harian, dengan kapasiti ruang simpanan antara 500 hingga 1,510 liter.

Teknologi casis jentera ini ditala untuk prestasi maksimum, termasuk sistem suspensi, stereng, dan kawalan kestabilan yang dioptimumkan untuk pemanduan di litar.

Ia didatangkan standard dengan sistem brek M Compound namun untuk kuasa henti yang lebih mantap, pelanggan boleh mendapatkan brek seramik karbon M yang bukan sahaja lebih berkuasa tetapi juga lebih ringan.

Nurburgring memainkan peranan penting untuk BMW M bukan sahaja dalam pembangunan dan ujian, tetapi juga dalam dunia sukan permotoran.

Jentera BMW M telah meraih pelbagai kejayaan di litar, termasuk 21 kemenangan keseluruhan dalam perlumbaan 24 jam.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved