Brabus 1000 boleh pecut 0-100 km/j sepantas 2.6 saat

Dengan kuasa keseluruhan mencecah 805 hp dan 1,420 Nm, Mercedes-AMG GT 63 S E Performance boleh dianggap sebagai sebuah jentera yang cukup bertenaga dan ampuh.

Namun begitu, mereka yang berada di Brabus berpendapat sebaliknya.

Disebabkan itu, terhasilnya sebuah pakej istimewa yang dinamakan sebagai Brabus 1000 yang dibina berdasarkan AMG GT 63 S E itu tadi.

Para jurutera Brabus telah meningkatkan sesaran nadi V8 yang asal kepada 4.5 liter, selain memadankan sepasang pengecas turbo yang lebih besar.

Selain itu, ia turut mendapat aci engkol aluminium billet, rod penyambung tempa berprestasi tinggi dan sistem ekzos keluli kalis karat kustom.

Enjin itu sahaja berupaya menjana kuasa 785 hp dan 1,250 Nm sebelum dipadankan dengan motor elektrik 201 hp untuk kuasa keseluruhan 986 hp (1,000 PS) dan daya kilas 1,820 Nm.

Untuk menjaga kesejahteraan sistem transmisi, Brabus mengehadkan hantaran daya kilas kepada 1,620 Nm sahaja.

Pecutan 0-100 km/j kini sepantas 2.6 saat, manakala pecutan 0-200 km/j pula mengambil masa 9.5 saat.

Untuk mencapai kelajuan 300 km/j, Brabus 1000 hanya mengambil masa 23.6 saat sahaja sebelum mencecah kelajuan maksimum 320 km/j.

Aspek aerodinamik Brabus 1000 juga telah disemak semula dengan padanan canard baharu, kemasan jeriji dan splitter hadapan gentian karbon.

Bahagian belakang pula diserikan dengan sayap kekal dan diffuser karbon.

Jentera ini kemudian dipadankan dengan gabungan rim 21 dan 22 inci, serta sistem gantungan KW yang merendahkan lagi ketinggian sebanyak 20 mm.

Bahagian kokpit pula diserikan dengan kemasan elemen warna merah dan gentian karbon seperti yang wujud pada panel suis pintu, jeriji pembesar suara dan corong pendingin hawa.

Harga untuk satu unit Brabus 1000 bermula dari €445,900 (RM2.18 juta).