Jetour mulakan operasi CKD untuk kukuh kedudukan di ASEAN

Jetour CKD (3)

Jetour Auto Malaysia secara rasmi memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk model SUV Dashing dan VT9 di fasiliti Berjaya Assembly Sdn Bhd (B-Assembly) di Tampoi, Johor Bahru.

Fasiliti berkeluasan 640,000 kaki persegi itu menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab strategik untuk pembuatan dan pengedaran bagi rantau ASEAN.

B-Assembly, anak syarikat milik penuh Berjaya Assets Berhad berperanan sebagai rakan pemasangan tempatan Jetour.

Fasiliti sedia ada ini dilengkapi dengan sistem berkeupayaan Industri 4.0, mencerminkan komitmen bersama kedua-dua syarikat terhadap piawaian pembuatan bertaraf tinggi, kecekapan operasi serta penyelesaian mobiliti mampan.

Menurut Wen Qiangkang, Naib Presiden Jetour International berkata, “pencapaian penting ini mencerminkan keyakinan kukuh kami terhadap Malaysia sebagai pasaran strategik untuk Jetour.

Fu Yong, Ketua Pegawai Eksekutif Jetour Malaysia berkata, “dengan pelancaran operasi pembuatan tempatan, kami berbangga dapat menawarkan kenderaan berkualiti tinggi yang dipasang di Malaysia, sejajar dengan komitmen berterusan kami terhadap kualiti, inovasi dan kepuasan pelanggan.

Sejak pelancaran rasmi barisan produk pertama di Malaysia, Jetour telah berkembang pesat dengan lebih daripada 20 cawangan di seluruh negara.

Operasi CKD ini menandakan detik penting dalam usaha mempercepatkan pemerolehan tempatan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, mempercepat masa penghantaran dan meningkatkan kepuasan pelanggan menerusi penawaran tambah nilai kepada pengguna di Malaysia.

Buat masa ini, fasiliti tersebut memberikan tumpuan pada pemasangan model Dashing dan VT9 di mana lebih 1,000 unit kenderaan telah dihasilkan.

Penghantaran model Dashing pemasangan tempatan bermula pada Jun 2025, dan akan disusuli oleh model VT9 kelak.

Pada masa hadapan, Jetour merancang untuk melabur sekitar RM1.4 bilion di Malaysia bagi menyokong pelancaran lebih banyak model pemasangan tempatan dan eksport ke negara jiran di rantau ASEAN.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved