Isuzu Malaysia jual 3,081 unit D-Max sepanjang H1 2025

Top of the line Isuzu D-Max X-Terrain

Isuzu Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran trak pikap tempatan dengan mencapai kedudukan di tempat kedua sepanjang suku kedua tahun ini menerusi model D-Max.

Peningkatan jumlah jualan terbaik sepanjang tempoh tersebut mendorong Isuzu Malaysia mencatatkan perkongsian pasaran sebanyak 16 peratus, dengan 3,081 unit trak pikap terjual setakat ini.

Populariti Isuzu D-Max dipacu oleh permintaan tinggi terhadap model berenjin 1.9 liter yang menawarkan prestasi kuasa serta penggunaan bahan api yang lebih cekap.

Tidak menghairankan apabila varian 1.9 liter menyumbang kepada lebih 85.8 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan D-Max.

Daripada jumlah tersebut, varian 1.9 liter 4×4 Auto Premium merupakan varian yang paling laris terjual, menawarkan nilai terbaik menerusi kelengkapan impresif, keselesaan yang ditawarkan serta ciri keselamatan yang dimuatkan.

Sebagai sebuah varian yang tersenarai dalam Malaysia Book of Record untuk perjalanan paling jauh bagi satu tangki minyak, D-Max 1.9 liter 4×4 Auto Premium menyumbang kepada 18.6 peratus daripada jualan keseluruhan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi berkata, “keputusan yang dicapai tahun ini mengukuhkan corak yang telah kami perhatikan sejak tahun lalu.

“Penggemar trak pikap atau pengguna kereta penumpang yang telah beralih kepada D-Max mendapati trak pikap berkenaan ada banyak kelebihan baik dari segi pemilikan mahupun pemanduan.

“Kami berharap akan dapat meneruskan prestasi yang sama bagi separuh kedua tahun ini, dan dalam masa yang sama memastikan pengalaman yang positif terhadap semua pelanggan kami,” ujarnya lagi.

Isuzu Malaysia menawarkan sehingga sembilan varian Isuzu D-Max untuk dipilih, bermula dengan varian 1.9 liter Low Ride 4×2 untuk kerja lasak hinggalah kepada varian X-Terrain, membolehkan pelanggan memilih trak yang paling sesuai dengan keperluan individu serta menikmati prestasi yang cekap dan boleh diharap.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo berkata, “usaha utama untuk separuh kedua tahun ini akan tertumpu kepada memperbaiki capaian terhadap produk kami dengan cara mendekati pelanggan berpotensi di luar perimeter premis cawangan.

“Kami juga akan membawakan kepada mereka pengalaman menyeluruh yang menampilkan kelebihan utama barisan produk kami.”

 

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved