Proton tubuh syarikat eksport untuk luas jejak global

Proton Holdings Berhad mengumumkan penubuhan anak syarikat milik penuhnya, Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB) untuk menerajui usaha memperluas pasaran luar negara.

Enmund Lim Meng, bekas Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat baharu ini.

PICSB akan dipertanggungjawabkan untuk memperluas pasaran eksport Proton dengan sasaran untuk berkembang ke negara-negara selatan global di samping menyelia dan membangunkan usaha jualan dan pemasaran di pasaran sedia ada.

Untuk sepanjang tahun 2025, PICSB menyasarkan jualan eksport mencecah angka 6,000 unit, dengan sasaran melebihi 10 kali ganda jumlah itu menjelang tahun 2030.

Buat masa ini, Proton sudah mengeksport 20,169 unit kenderaan ke 19 buah negara termasuklah Afrika Selatan, Angola, Bangladesh, Bermuda, Brunei, Fiji, Ghana, Iraq, Kenya, Mauritius, Mesir, Mozambique, Nepal, Pakistan, Papua New Guinea, Singapura, Sri Lanka, serta Trinidad & Tobago.

Tiga model Proton yang paling tinggi unit eksport sejak 2020 adalah Proton Saga (10,998 unit), Proton X50 (3,968 unit) serta Proton X70 (3,316 unit).

Sambutan hangat yang diterima untuk Proton e.MAS 7 menyebabkan angka jualan model tersebut melonjak ke tempat ketiga dalam jualan eksport tahun ini.

Sejak aktiviti eksport bermula ke Nepal dan Trinidad & Tobago, sebanyak 233 unit telah dihantar dan pada Disember 2024.

Model ini telah mengekalkan jualan kukuh dengan 916 unit terjual pada Mei untuk pasaran domestik dan antarabangsa, menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) sebanyak 3,632 unit.

Sedikit sejarah ringkas, Proton memulakan eksport ke pasaran Bangladesh pada tahun 1986, setahun selepas kereta pertama dilancarkan.

Menjelang 1992, Proton menjadi francais kereta baharu paling pesat berkembang di UK dengan jualan tahunan mencapai 15,000 unit.

Menjelang awal tahun 2000-an, model-model Proton telah berada di 64 buah negara di seluruh dunia.