Isuzu D-Max EV mula dijual di UK, harga agak mahal
Beberapa bulan lepas, Isuzu mengumumkan model trak pikap elektrik D-Max EV sudah mula diproduksikan di kilang Thailand.
Trak pikap tersebut dijangka akan mendarat di pasaran Eropah seawal tahun 2026, membawakan tanda harga yang cukup mengejutkan.
Isuzu D-Max EV dijual pada harga £59,995 (RM341,913), dua kali ganda berbanding harga D-Max versi diesel yang bermula dari £27,755 (RM158,176).
Malah, dengan harga £62,495 (RM356k) untuk varian yang lebih premium, ia dilihat masih lagi mahal berbanding trak pikap D-Max AT35 yang sarat dengan bermacam-macam aksesori off-road (harga £57,005 atau RM325k).
Isuzu D-Max EV dikuasakan oleh dua motor elektrik, menghasilkan output 188 hp dan 325 Nm, dan masih mengekalkan ciri Rough Terrain Mode daripada model diesel.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 10.1 saat, dengan kelajuan maksimum cuma 129 km/j sahaja.
Untuk sebuah kuda kerja, D-Max EV menawarkan keupayaan menampung beban 1,000 kg, dan kapasiti menunda beban sehingga 3.5 tan yang menyamai keupayaan trak pikap diesel.
Pek bateri 66.9 kWh pula membenarkan jarak pandu sejauh 263 km sahaja, namun ia menyokong pengecasan pantas DC 50 kW untuk pengecasan sepantas 1 jam dari 20-80 peratus.
Isuzu D-Max EV masih mengekalkan casis ladder-frame seperti model biasa, namun suspensi belakang diubah kepada tetapan De-Dion untuk kualiti pemanduan yang lebih baik.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.











