Hyundai Stargazer 2025 facelift: muka agresif, teknologi Shift-by-Wire

Hyundai Stargazer Cartenz & Cartenz X 2025 30

Pada tahun 2022, Hyundai melancarkan MPV mampu milik Stargazer untuk bersaing dengan pengeluar seperti Toyota, Daihatsu dan Mitsubishi di pasaran Indonesia.

Rupa paras yang futuristik itu kini dikemas kini untuk model tahun 2025 dengan penampilan yang lebih berani, serta ciri kelengkapan moden.

Versi facelift Stargazer baru ini dikenali sebagai Stargazer Cartenz bersempena dengan Puncak Cartenz iaitu pergunungan tertinggi di Indonesia.

Perubahan ketara boleh dilihat pada muka hadapan, dengan unit lampu yang lebih tradisional, lampu nyalaan siang LED berbentuk taring, struktur jeriji serta bukaan pada bampar hadapan yang lebih besar.

Struktur hud baharu yang lebih panjang melenyapkan terus imej telur pada Stargazer terdahulu.

Untuk bahagian belakang, Stargazer Cartenz diberikan bampar yang telah direka semula, serta lampu LED yang lebih nipis.

Untuk model Cartenz X, ciri unik termasuklah rel bumbung yang lebih tinggi, padanan plastik pelindung di sekeliling badan, bampar yang lebih agresif, serta rim hitam berkilat.

Ruang kabin Stargazer juga turut diberikan kemas kini, dengan skrin kluster digital dan skrin tengah diintegrasikan dalam satu panel tunggal, serta panel kawalan iklim berasingan.

Secara standard, Stargazer hadir dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, namun pembeli boleh memilih konfigurasi Captain Seat di tengah untuk menjadikannya sebuah kenderaan enam-tempat duduk.

Antara ciri lain termasuklah tempat duduk berventilasi larasan elektrik, pengecasan tanpa wayar, sistem bunyi Bose, kawalan jelajah pintar dan sistem pemantauan titik buta.

Untuk model Cartenz X pula, ia dilengkapi dengan teknologi Shift-by-Wire yang membuang terus tuil transmisi untuk konsol tengah yang lebih lapang.

Dari segi kuasa, Stargazer kekal dengan enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi berkuasa 113 hp dan 144 Nm, dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau CVT.

Berbanding model terdahulu, versi facelift ini mendapat pertambahan dimensi, dengan kelebihan 115 mm panjang, namun jarak antara roda kekal 2,780 mm dan jarak kelegaan tanah setinggi 205 mm.

Di Indonesia, Hyundai menjual Stargazer Cartenz pada harga bermula Rp 350,400,000 (RM90,580) manakala Stargazer Cartenz X pula bermula dari Rp 361,900,000 (RM93,553).

Melihatkan kepada pakej yang ditawarkan, rasanya tidak salah untuk Hyundai Motor Malaysia membawa masuk model Stargazer ini bagi merancakkan lagi segmen MPV sedia ada.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved