Chery Malaysia mengumumkan kehadiran teknologi plug-in hybrid (PHEV), dikenali sebagai Chery Super Hybrid (CSH).
Teknologi CSH ini bakal ditawarkan pada dua model baru yang akan dilancarkan kelak, iaitu Tiggo 7 dan Tiggo 8 versi facelift.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang anda perlu tahu:
1. Komponen utama
Teknologi CSH terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo (141 hp/215 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik (201 hp/310 Nm), menghasilkan kuasa keseluruhan 342 hp dan daya kilas 525 Nm.
Selain itu, terdapat juga sistem Dedicated Hybrid Transmission (DHT) yang menawarkan tahap kecekapan sehingga 98 peratus, dan pek bateri lithium-ion phosphate 18.3 kWh.
2. Mod pemanduan sifar emisi
Dengan gandingan komponen yang disebutkan tadi, ia mampu menawarkan jarak pemanduan sifar emisi sejauh 90 km.
Jarak pemanduan keseluruhan sistem PHEV ini boleh mencecah sehingga 1,200 km, sekaligus mengurangkan perasaan kebimbangan jarak yang biasanya dialami oleh pemilik EV.
3. Masa pengecasan
CSH menyokong pengecasan AC 6.6 kW, di mana bateri boleh dicas 30-80 peratus dalam masa tiga jam.
Pengecasan pantas DC 40 kW pula membolehkan pengecasan 30-80 peratus dicapai dalam tempoh masa 19 minit sahaja.
Alternatifnya, pemilik boleh menggunakan palam domestik 3-poin untuk pengecasan 10-100 peratus dalam tempoh 8.5 jam.
4. Ujian ketahanan rentas tiga benua
Untuk membuktikan tahap keselamatan bateri sistem PHEV CSH tersebut, Chery menjalankan inisiatif Global Safety Challenge merentas tiga benua dunia.
Ujian fasa pertama dibuat di China, di mana sebuah Tiggo 9 PHEV menjalani ujian ekstrem termasuklah golekan dan pelanggaran hadapan, timbunan tujuh kenderaan, hentaman sisi 55 km/j, jatuhan menegak 4.9 meter dan semburan garam selama 720 jam.
Ujian fasa kedua pula mengambil tempat di Indonesia yang memfokuskan kepada ketahanan terhadap banjir tropika.
Di situ, bateri CSH direndam dalam tangki air laut sedalam 1 meter selama 53 jam untuk menguji tahap kedapan, kestabilan kimia dan pengurusan haba di bawah persekitaran tekanan tinggi yang biasanya berlaku di kawasan mudah banjir.
Bateri tersebut kemudian dipasangkan semula pada Tiggo 8 PHEV dan dipandu untuk menunjukkan ketahanannya.
Ujian fasa ketiga pula akan dibuat di Mexico, di mana Tiggo 7 PHEV CSH akan berdepan dengan ujian geseran bawah badan di kawasan tanah tinggi.
Ia bertujuan untuk menilai tahap perlindungan bawah badan terhadap komponen bateri dan kestabilan sistem pada altitud yang lebih tinggi.
Selain lokasi yang disebutkan tadi, Chery akan mengembangkan lagi Global Safety Challenge di beberapa pasaran utama tambahan termasuklah Afrika Selatan dan Brazil.
5. Apa yang baharu pada Tiggo 7 & Tiggo 8 facelift?
Chery Tiggo 7 PHEV membawakan beberapa perubahan, merangkumi lampu utama baharu, rekaan rim berbeza, jeriji hadapan dan bampar baharu, lampu belakang dengan grafik baharu, pintu tailgate, bampar serta diffuser belakang baharu.
Susun atur papan pemuka adalah hampir sama dengan model Tiggo 7 berkuasa petrol.
Tiggo 8 versi facelift membawakan kemaskini berupa unit lampu hadapan, jeriji hadapan dan bampar hadapan serba baharu, pemegang pintu tersorok, rim rekaan baharu, diffuser belakang serta tip ekzos berbentuk trapezoid.
Pada ruang kabin, Tiggo 8 PHEV membawakan skrin tengah sebesar 15.6 inci, skrin kluster digital berasingan, rekaan papan pemuka baharu, konsol tengah yang menempatkan pengecas peranti pintar tanpa wayar, serta tuil penukaran gear yang dialihkan pada kolum stereng.
