BMW Malaysia lancar SUV elektrik iX 2025 versi facelift – harga dari RM425,800

01. The New BMW iX xDrive60 M Sport Pro

BMW Group Malaysia melancarkan SUV elektrik iX 2025 facelift untuk pasaran tempatan yang kini boleh didapati dalam dua varian utama, iaitu iX xDrive45 Sport dan iX xDrive60 M Sport Pro.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Rupa luaran

Berbanding model terdahulu, iX versi facelift membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik.

Antaranya ialah jeriji hadapan yang kini menampilkan garis lurus pepenjuru, bukaan besar pada bahagian sisi bampar depan, serta bampar belakang yang sedikit agresif.

 

2. Varian

Terdapat dua varian utama yang ditawarkan, iaitu iX xDrive 45 Sport, dan iX xDrive 60 M Sport Pro.

Untuk varian xDrive45 Sport, ia dilengkapi dengan rim aerdinaik 21 inci dengan kemasan 1012 Bicolour 3D.

Sementara varian xDrive60 M Sport Pro pula mendapat rim aerodinamik M 22 inci dengan kemasan 1025 M Multicolour 3D, angkup brek merah, M Lights Shadowline, serta pakej M Aerodynamics.

Kedua-dua varian boleh didapati dalam pilihan warna yang meluas termasuklah Black Sapphire, Mineral White, Arctic Race Blue, Aventurine Red dan Dune Grey.

Warna eksklusif termasuklah Alpine White dan Sophisto Grey dengan pilihan warna kabin Atelier Oyster, Atelier Mocha atau Atelier Black untuk varian xDrive45.

Sementara varian xDrive60 pula tersedia dengan warna eksklusif M Carbon Black, dengan pilihan warna kabin Interior Design Suite Amido, Castanea atau M Sport Black/Atlas Grey.

 

3. Ruang kabin

Kedua-dua varian menampilkan ciri seperti sistem pencahayaan ambien, bumbung kaca panorama, sistem audio Harman Kardon 655 watt dengan 18 pembesar suara, serta sistem bunyi BMW IconicSounds Electric.

Terdapat juga kawalan iklim 4-zon automatik, storan pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta sokongan panggilan kecemasan.

Khas untuk varian M Sport Pro ialah emblem M, tempat duduk M yang dibaluti Sensatec M/Alcantara, roda stereng kulit M, headliner anthracite, serta kemasan upholsteri Sensatec/Alcantara untuk perehat tangan dan panel instrumen.

Ruang kargo adalah sebesar 500 liter dan boleh mencecah sehingga 1,750 liter.

 

4. Kuasa

Kedua-dua varian dilengkapi dengan tetapan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda xDrive.

Varian xDrive45 Sport mampu menjana kuasa 408 hp dan 700 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.

Pek bateri 100.6 kWh pula membolehkan iX xDrive45 Sport ini mencecah jarak sejauh 602 km, selain menyokong pengecasan pantas DC sehingga 175 kW.

Dengan pengecasan yang lebih berkuasa, BMW iX xDrive45 Sport ini boleh menambah jarak 166 km dalam masa 10 minit sahaja, atau 10-80 peratus dalam masa 34 minit.

BMW iX xDrive60 M Sport pula mampu menjana kuasa setinggi 544 hp dan 765 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat dan kelajuan maksimum 200 km/j.

Dengan bateri 111.5 kWh, varian xDrive60 ini boleh mencecah jarak 701 km, dan menyokong pengecasan DC sehingga 195 kW.

Pengecasan pantas DC 10-80 peratus hanya mengambil masa 35 minit, atau penambahan jarak sejauh 217 km dalam masa 10 minit.

 

5. Harga

Harga jualan adalah seperti berikut:

BMW iX xDrive45 Sport – RM425,800
BMW iX xDrive60 M Sport Pro – RM487,800

 

BMW iX xDrive45 Sport

BMW iX xDrive60 M Sport Pro

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved